ANTARA bantuan khidmat pemasaran yang akan diberikan kepada usahawan.
ANTARA bantuan khidmat pemasaran yang akan diberikan kepada usahawan.

Fungsi sesebuah universiti bukan sekadar melahirkan graduan, tapi turut memanfaatkan kemahiran dan kepakaran warganya untuk kepentingan masyarakat.

Berikutan itu, Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknousahawan (iKOM) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memanfaatkan kepakaran warganya bagi membantu usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) di Perlis, baru-baru ini.

Program khidmat sosial itu bertujuan membantu usahawan IKS mempromosi produk mereka menerusi kerjasama siswa UniMAP.

Ia ibarat serampang dua mata kerana turut memberi pendedahan kepada siswa mengenai aspek keusahawanan.

Siswa tahun dua Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu, Mohamad Haziq Mohd Hidzir berkata, peluang diberikan pensyarah untuk membantu usahawan adalah pengalaman baru baginya.

Menurutnya, mereka bukan saja berpeluang melihat operasi sebenar perniagaan, malah pada masa sama membantu usahawan menerusi khidmat nasihat.

“Walaupun kami tiada pengalaman, sedikit sebanyak ilmu dipelajari di kampus mampu dipraktikkan menerusi program ini.

“Ia pengalaman baru dengan sasaran kedua-dua pihak memperoleh manfaat bersama, selain menyuntik semangat keusahawanan dalam kalangan generasi muda selepas tamat pengajian,” katanya.

Menerusi program itu, siswa perlu mencari sendiri usahawan dan membantu mereka memperkukuhkan jenama produk.

Antaranya menerusi cara pembungkusan dan strategi promosi mengikut cara terkini.

Seorang siswa, Muhammad Ajmal Harun memilih membantu pengusaha keropok lekor.

Menurutnya, usahawan dibantunya sebelum ini menghadapi masalah memasarkan produknya.

“Kumpulan saya membuat kajian pasaran dan promosi. Masalah yang dikenal pasti perlu diatasi untuk melonjakkan jualan.

“Kami akan membantunya menerusi aspek pembungkusan, penjenamaan semua syarikat, mempelbagaikan produk serta mendapatkan pengesahan sijil halal bagi produk makanan ini,” katanya.

Kumpulannya berbangga apabila segala idea mereka diguna pakai usahawan terbabit untuk mengembangkan perniagaannya.

Sementara itu, Timbalan Dekan Akademik iKOM Dr Hanum Hassan berkata, Program Tanggungjawab Sosial Korporat Universiti (UCSR) itu diadakan untuk subjek Komunikasi Pemasaran Bersepadu.

“Ini cara terbaik memberi kefahaman kepada siswa mengenai konsep dan kaedah komunikasi pemasaran bersepadu kerana mereka perlu mempraktikkan kemahiran yang dipelajari secara teori,” katanya.

“Pengalaman ini dapat memberi pendedahan kepada siswa mengenai kaedah betul untuk memulakan perniagaan.

“Sebaik kursus tamat mereka akan menyerahkan pulangan dihasilkan kepada syarikat berkenaan sebagai UCSR kepada masyarakat di Perlis,” katanya. - Ruhaiza Rusmin

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2016 @ 5:00 AM