WANITA yang mengalami sesak nafas diberi bantuan khas oleh anggota bomba untuk mendapatkan rawatan di hospital. FOTO ihsan Bomba
WANITA yang mengalami sesak nafas diberi bantuan khas oleh anggota bomba untuk mendapatkan rawatan di hospital. FOTO ihsan Bomba
Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Wanita berusia 60 tahun yang mengalami sesak nafas diberi bantuan khas oleh Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai untuk mendapatkan rawatan selepas pihak hospital mengalami kesukaran membawa mangsa akibat masalah berat badannya dianggarkan 250 kilogram.

Ketua Operasi Balai Bomba Simpang Pulai, Ali Hiari Sulaiman berkata, pihaknya mendapat panggilan daripada pihak hospital yang meminta bantuan untuk membawa mangsa dari rumahnya di Kampung Simpang Pulai, di sini ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada 12.59 tengah hari tadi.

Menurutnya, pasukannya kemudian tiba di rumah wanita berkenaan bersama van EMRS pada 1.04 petang, namun tidak berupaya membawa mangsa dan terpaksa meminta bantuan daripada Balai Bomba Pasir Puteh.

"Wanita berkenaan dianggarkan seberat 250 kilogram dan kami terpaksa meminta bantuan lori lima tan daripada Balai Bomba Simpang Pulai untuk membawa mangsa ke HRPB.

"Kemudian enam anggota bomba dan tiga anggota perubatan bertindak mengangkat mangsa bersama tilam dan dimasukan ke dalam lori untuk dibawa ke hospital," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ali Hiari berkata, operasi tamat pada 2.20 petang dan tidak mengalami kesukaran kerana rumah mangsa adalah rumah kampung dua tingkat dan mangsa terlantar di tingkat bawah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2016 @ 7:22 PM