RANGKAIAN Perfect Renew membantu wanita kembalikan semula keremajaan wajah dengan menyasarkan pembaikan dan pemulihan pada struktur kulit.
RANGKAIAN Perfect Renew membantu wanita kembalikan semula keremajaan wajah dengan menyasarkan pembaikan dan pemulihan pada struktur kulit.
Oleh Nor Faizah Mohamed


Letih, penat dan tiada masa sering dijadikan alasan untuk culas menjaga penampilan. Tiga alasan itu juga lazim diletakkan sebagai punca kepada kegagalan penjagaan wajah dan tubuh yang sepatutnya diberikan perhatian khusus setiap hari.

Penat kerana banyak tugasan di tempat kerja, letih kerana menjaga si kecil dan tiada masa kerana terlalu banyak perkara yang perlu dilakukan dalam sehari.

Lantaran itu, faktor keletihan, penat dan tiada masa ini seterusnya diangkat sebagai punca malas untuk menitikberatkan penjagaan dan kesihatan diri.

Bak ungkapan ikonik legenda kecantikan dunia, Helena Rubinstein, tiada wanita hodoh di dunia cuma yang malas saja cukup menunjukkan wanita tampil tidak berseri dan kurang menarik apabila malas mula menguasai diri.

Setuju, faktor keletihan menjalani kehidupan harian sebagai wanita itu perlu diambil kira sebagai tunjangnya, malah ramai pakar tidak menafikan keletihan yang dialami setiap hari membuatkan seseorang wanita itu hilang tenaga untuk terus tampil menawan.

Ketidakupayaan atau hilang tenaga ini yang kemudian membuatkan wanita mula mengabaikan rejim penjagaan diri khususnya wajah lalu menyebabkan munculnya tanda awal penuaan.

Seperti apa yang dipersembahkan Laneige kepada media Asia sempena sesi pengenalan rangkaian Perfect Renew di Singapura, baru-baru ini, faktor keletihan dan tekanan menjadi antara penyumbang utama kepada masalah ini yang biasanya membuatkan kulit menjadi kusam serta tidak bermaya.

Tidur tidak terkecuali memainkan peranan penting bagi mengembalikan kesihatan kulit. Kurang tidur atau tekanan boleh mempengaruhi tahap aktiviti adrenal seterusnya kesihatan kulit.

Apabila tubuh kekurangan tidur, tahap kelembapan kulit akan berkurangan, seterusnya akan merosakkan struktur kulit, menjadikan kulit lebih kering, kasar dan berkedut.

Justeru, tidur sekurang-kurangnya enam hingga lapan jam sehari dapat memastikan kulit sihat dan bermaya setiap pagi.

Pengambilan makanan tambahan seperti vitamin, jamu, ginseng dan sebagainya dapat membantu membekalkan tenaga yang diperlukan, tetapi pada masa sama ia perlu seiring dengan usaha semula jadi.

Bagaimanapun, pada zaman ini, faktor pencemaran dan tekanan di sekeliling juga dilihat sebagai satu punca utama kepada kesan penuaan dalam kalangan generasi muda.

Wanita seawal usia 25 tahun kini mula berdepan masalah kedutan di sekitar mata, mulut dan leher sementara keadaan kulit berubah kekeringan serta mulai kendur.

Majoriti wanita (ada juga lelaki) yang mengimpikan kulit sihat dan anjal yang berkekalan. Kulit lembut bak bayi diangkat sebagai kunci kepada seri wajah muda yang didambakan.

Siapa yang tidak mahukan wajah kelihatan seperti di awal usia 20-an sedangkan diri mulai mencecah pertengahan 30-an?

Justeru, apa yang ditampilkan Laneige menerusi rangkaian Perfect Renew ini berusaha membantu wanita mengembalikan semula keremajaan wajahnya dengan menyasarkan pembaikan dan pemulihan pada struktur kulit.

Rangkaian Perfect Renew ini ialah rangkaian antipenuaan premium daripada Laneige yang dirumus semula dengan teknologi baru dikenali ‘Skin Rebirt’h dan ‘Advanced ­Ceramide Water’.

Tekstur ‘Segi tiga Bayi’

Menerusi kolaborasi pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) AMOREPACIFIC bersama Agensi Sains, Teknologi dan Penyelidikan Singapura (A*STAR), gen PYCR1 yang ada dalam kulit dikenal pasti.

Gen PYCR1 ini berupaya berinteraksi secara langsung dengan proses penuaan pada sel kulit. Penemuan gen ini mencetuskan idea kepada terhasilnya teknologi eksklusif Skin Rebirth yang membantu mengembalikan struktur kulit bak bayi.

Menurut program Kajian Kulit dan Teknologi 2015 yang diterbitkan dalam Jurnal Sains Kosmetik Antarabangsa, struktur kulit bayi atau ‘Baby Triangle’ (Segitiga Bayi) ini terganggu atau menjadi herot lalu menyebabkan segi tiga yang kecil itu berubah kepada bentuk yang lebih besar.

Dengan kata lain, kulit yang masih muda dan remaja mempunyai struktur segi tiga lebih kecil dan tersusun berbanding kulit matang yang berlaku secara semula jadi kala meningkatnya usia.

Jelas Pengurus Produk Laneige Perfect Renew, Jungyeon Kim, gen PYCR1 bertindak melepasi lapisan epidermis hingga ke dermis lalu membantu memberi keanjalan sepenuhnya pada kedua-dua lapisan itu.

“Serum Perfect Renew Regenerator dihasilkan daripada penemuaan itu dan teknologi inovatif ‘Skin Rebirth’ yang dibangunkan Laneige ini membantu mengembalikan struktur segi tiga bayi pada kulit, membaik pulih tenaga iaitu metabolisme dan meng­galakkan perubahan sel epidermal.

“Selain itu, ia membantu menghidupkan semula tenaga kulit yang semakin lemah dan tidak berfungsi,” kata­nya.

Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi AMOREPACIFIC Singapura, Yunha Lee menambah, kebanyakan wanita di peringkat usia 30 tahun ke atas menyatakan kulit kusam dan tidak bermaya sebagai satu daripada kebimbangan utama mereka.

Juga ramai yang mengatakan keadaan kusam itu lebih merujuk kepada masalah penampilan berbanding faktor keadaan atau masalah kulit yang dialaminya.

“Tanda ketara kelesuan seperti kulit kusam dan kasar berupaya membuatkan penampilan wajah tampak keletihan, kurang bertenaga dan tidak bermaya.

“Ia juga antara tanda awal penuaan yang boleh memberi kesan berpanjangan jika tidak diberi perhatian.

“Wujud pelbagai faktor yang menyebabkan kulit keletihan seperti pendedahan kepada cahaya matahari secara berterusan, kurang pengambilan air, kurang tidur, kurang rehat, tekanan luar dan pencemaran yang membuatkan proses pemulihan sel kulit menjadi perlahan,” katanya.

Galangin menjadi bahan utama yang digunakan dalam rangkaian Perfect Renew ini. Galangin tergolong dalam flavonoid galangal iaitu sejenis halia yang mempunyai ejen pelindung kulit daripada punca penuaan seperti UV, asap, pencemaran udara, debu halus, pemakanan tidak seimbang dan tekanan diri.

Sementara itu, teknologi ‘Advanced Ceramide Water’ bertindak memastikan kulit kekal anjal dan mendapat lembapan berpanjangan.

Ia membantu memegang sel dan membentuk lapisan perlindungan lalu memberikan hasil kulit mulus, gebu dan tiada masalah kekeri­ngan.

Teknologi ‘Advanced Ceramide Water’ ini tidak ketinggalan dipertingkatkan dan dinaik taraf untuk efek penghidratan maksimum.

Sasar kulit pada usia pertengahan 20-an

Menurut Naib Presiden Kanan, Divisyen Laneige, Kayla Jeong, francais Perfect Renew ini hanya disasarkan pada wanita berusia 25 hingga 35 tahun.

“Walaupun ia lebih kepada pemulihan dan penjagaan wajah bersifat antipenuaan, rangkaian Perfect Renew ini tidak sesuai untuk semua jenis usia.

“Berdasarkan keadaan kulit individu, Laneige mengesyorkan penggunaan dalam kalangan wanita berusia 25 hingga ke 35 tahun kerana pada usia ini berlaku perubahan pesat pada kulit.

“Wanita dalam lingkungan usia ini juga paling kerap terdedah dengan faktor penuaan luaran seperti tekanan, pencemaran, UV dan sebagainya.

“Justeru, rangkaian Perfect Renew memberi tumpuan kepada penuaan yang berpunca daripada faktor luaran ini.

“Berdasarkan kajian klinikal yang dilakukan ke atas 2,535 wanita berusia 20 tahun hingga 35 tahun mendapati adanya peningkatan ketara pada struktur kulit, kelembapannya, kurang sel mati, kurang masalah kekeringan dan tahap keanjalan yang meningkat.

“Pada masa akan datang, kami merancang mengembangkan lagi produk seperti ini dan akan memberi lebih tumpuan kepada rangkaian perlindungan antipencemaran untuk mengekang faktor luaran seperti jerebu serta debu mikro,” katanya.

Penggunaan lima produk diberikan penekanan untuk mendapatkan hasil optimum iaitu refiner (penyegar), serum, emulsion (emulsi), krim pelembap dan krim mata.

Perfect Renew Skin Refiner ialah penyegar dalam bentuk gel yang berfungsi menambah kelembapan dan tenaga pada kulit.

Ia mengandungi antioksidan bagi membantu mengukuhkan lagi struktur kulit.

Perfect Renew Regenerator seterusnya digunakan yang fungsinya sama seperti serum bagi membekalkan tenaga, melembutkan dan mengembalikan keremajaan kulit.

Perfect Renew Emulsion pula adalah emulsi yang bertindak sebagai penenang kepada kulit. Teksturnya dapat menyerap lebih efektif lalu membentuk satu lapisan perlindungan pada kulit wajah.

Perfect Renew Cream ialah pelembap yang memberi lembapan diperlukan tanpa membebankan kulit. Kulit wajah bakal tampil seperti kulit baru dengan penggunaan berterusan.

Tidak dilupakan Perfect Renew Eye Cream yang mensasarkan kawasan sensitif di sekitar mata. Mata adalah antara bahagian pertama dan ketara mengalami kedutan atau kesan penuaan.

Krim mata ini bertindak memperbaiki kerosakan kulit di bahagian terbabit, sekali gus memberikan lembapan tambahan untuk agar kulit lebih anjal.

Perfect Renew Regenerating Mask pula bertindak sebagai pupur yang membantu memberikan penampilan lebih bertenaga pada kulit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2016 @ 4:57 AM