RONALDO (kiri) mengatasi Juanfran ketika saingan La Liga Sepanyol, awal pagi semalam.
RONALDO (kiri) mengatasi Juanfran ketika saingan La Liga Sepanyol, awal pagi semalam.
AFP

Madrid: Real Madrid kembali menyertai kelompok empat teratas La Liga Sepanyol dengan membelasah Deportivo La Coruna 7-1 awal pagi semalam dengan Cristiano Ronaldo berjaya mengakhiri kemarau jaringan menerusi dua gol pada babak akhir.

Barcelona bagaimanapun masih melebarkan penguasaan mereka kepada 11 mata, 19 mata mendahului Real ketika Lionel Messi dan Luis Suarez masing-masing meledak dua gol ketika membenam Real Betis 5-0.

Ronaldo yang hanya menjaringkan empat gol liga sebelum perlawanan menentang Deportivo yang menduduki tangga tiga terbawah, namun bintang Portugal itu menyumbang gol kelima dan keenam peribadinya menerusi voli hebat dan tandukan bagi membolehkan mereka kembali berada di atas Villarreal dan tiket menyertai Liga Juara-Juara.

Villarreal buat seketika menduduki tangga keempat dengan kemenangan 2-1 ke atas Levante kelmarin selepas menewaskan Real di Bernabeu buat kali pertama minggu lalu.

Gareth Bale dan Nacho juga menjaringkan dua gol dan Luka Modric untuk sepakan lencong yang cantik pada minit ke-68, ketika Real bangkit daripada defisit awal apabila Adrian menjaringkan gol pada minit ke-23, sebelum Real bangkit untuk kemenangan besar sekali gus meredakan tekanan jurulatih Zinedine Zidane.

“Kami perlukannya. Hakikatnya, inilah yang kami hilang, iaitu keupayaan menjaringkan tujuh gol di laman sendiri musim ini, ia benar-benar memuaskan dan melegakan,” kata Zidane.

Kemenangan itu meletakkan Real lima mata di belakang Valencia yang menduduki tangga ketiga, selepas skuad Marcelino kehilangan dua pemain kerana dibuang padang yang mengakibatkan mereka tewas mengejut 1-2 kepada Las Palmas kelmarin.

Real melangkah ke perlawanan itu dalam suasana krisis berikutan aksi hambar yang berterusan menyaksikan mereka turut tewas kepada Villarreal minggu lalu dan keadaan dilihat menjadi semakin buruk apabila Adrian menyempurnakan hantaran leret Lucas Perez.

Bagaimanapun tuan rumah segera bangkit dan pada akhir separuh masa pertama mendahului 2-1 hasil jaringan pertama Nacho dan sepakan hebat Bale.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2018 @ 2:09 AM