ENGGA Unchat menarik diri pada saat akhir sebelum hari pengundian PRN Sarawak hari ini.  FOTO Mohd Roji Kawi
ENGGA Unchat menarik diri pada saat akhir sebelum hari pengundian PRN Sarawak hari ini. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi

Sibu: Calon Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Dudong, Engga Unchat, menarik diri untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12) hari ini.

Penarikan diri Engga, 65, dibuat menerusi surat yang ditandatangani Pegawai Pengurus Pilihanraya bagi Dun Dudong, Abdul Razak Awang Bini.

Surat berkenaan mula tersebar di laman sosial, lewat malam tadi, dan Engga dalam hantaran di akaun Facebook tengah malam tadi mengesahkan keputusan menarik diri itu.

"Dengan surat ini maka saya mengumumkan saya menarik diri sebagai calon yang akan bertanding dalam PRN-12.

"Saya calon no.8 (lambang Kunci) di bahagian N 52 Dudong dengan melalui surat ini mengesah penarikan diri saya dari bertanding dalam PRN-12 dan saya dengan ini memberikan sokongan penuh dan padu saya kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS)," katanya.

Katanya, keputusan itu diambil bagi memastikan kesinambungan pembangunan di kawasan Dudong.

"Saya menyeru pengundi di kawasan ini memberi sokongan sepenuhnya kepada calon GPS," katanya.

Kawasan Dun Dudong menyaksikan paling ramai calon bertanding pada PRN-12 dengan lapan kesemuanya.

Mereka ialah Datuk Seri Tiong King Sing yang mewakili GPS; Paul Ling Fong dari DAP; calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Wong Hie Ping; calon Parti Bangsa Dayak Sarawak Baru (PBDSB), Julius Enchane; calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Jane Lau Sing Wee dan calon Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi), Josephine Lau Kiew Peng dan Fadhil Mohamad Isa atau 'Cardock' (Bebas).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 8:17 AM