KEMBALI dengan semangat baru, fokus album keempat berjudul Rebirth selain berlakon.
KEMBALI dengan semangat baru, fokus album keempat berjudul Rebirth selain berlakon.
Oleh Syafil Syazwan Jefri


Bergelar anak seni, ada turun naiknya. Bagi penyanyi dari Singapura Aliff Aziz, 2016 ialah tahun untuknya memfokuskan kepada kelahiran album keempat berjudul Rebirth.

“Rebirth ialah album kelahiran semula saya dengan semangat baru untuk membina nama dalam industri muzik. Untuk album ini, single pertama adalah Selayaknya Aku ciptaan Faizal Tahir,” katanya.

Menurutnya, album Rebirth yang bakal dilancarkan pada Mac atau April depan menampilkan 10 lagu termasuk dua muzik ‘minus one’.

“Selain lapan lagu dan dua ‘minus one’ itu, ia juga akan menyelitkan lagu Warna Cinta nyanyian semula lagu Hindi, Gerua bersama Kilafairy,” katanya.

Selain fokus kepada kelahiran album Rebirth, Aliff kembali berlakon dan terbaru, dia baru saja menerima tawaran untuk membintangi sebuah drama bersiri.

“Perasaan saya bercampur baur. Ada rasa gembira dan pada masa sama gementar kerana sudah lama juga tidak berlakon.

“Terbaru, saya baru saja menerima tawaran berlakon drama bersiri Mr Tanda Soal arahah Syed Khairul Fariz. Sebelum ini, saya pernah bekerjasama dengan pengarah sama menerusi drama bersiri Jodoh 2,” katanya.

Tambah Aliff, dia kini menunggu skrip drama itu dan memulakan penggambaran bulan depan.

Ditanya mengenai pembahagian kerjaya lakonan dan nyanyian, Aliff memaklumkan jiwanya tetap mengutamakan muzik.

“Saya ingin sentiasa diingati sebagai penyanyi dan pemuzik. Saya bermula dengan muzik dan saya ingin kekal sebagai pemuzik.

“Seni itu luas. Sebagai anak seni, tidak salah rasanya sekiranya saya mencuba nasib meluaskan bakat. Yang penting, saya selesa dalam cabang seni itu,” katanya.

Ditanya perancangannya untuk tahun ini, dia ingin tampil lebih sihat dan bersih daripada kontroversi.

“Tahun 2016 adalah tahun untuk saya memfokuskan kepada kerjaya dan kehidupan. Saya mahu peminat melihat kualiti kerja saya sebagai anak seni.

“Kalau boleh, saya tidak mahu bercakap dan kurangkan perkara yang tidak penting untuk memastikan saya bersih dari sudut mental, fizikal dan spiritual,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2016 @ 12:50 PM