ALIFF akui perlukan masa sesuai untuk berhadapan dengan media memberi penjelasan.
ALIFF akui perlukan masa sesuai untuk berhadapan dengan media memberi penjelasan.
Oleh Norhayati Nordin

Memulakan langkah dalam bidang muzik pada usia 16 tahun, ia nyata peluang yang besar buat penyanyi Aliff Aziz.

Apatah lagi, dia bukan sekadar berjaya membina nama, tetapi cukup dikenali di negara ini.

Berkelana di antara Malaysia dan negara kelahirannya Singapura, Aliff akur demi mencapai matlamat mengembangkan karier seninya.

Justeru, kini dia berjaya di arena seni sebagai penyanyi dan pelakon.

Namun, seiring dengan bakat lakonannya yang semakin menyerlah pemuda berusia 23 tahun ini juga diterjah pelbagai kisah sensasi. Antaranya dakwaan dia meninggalkan set penggambaran drama tanpa sebab.

Tidak terhenti di situ, nama Aliff sekali lagi mengejutkan industri hiburan di negara ini apabila dia ditahan pihak berkuasa Singapura atas dakwaan mencuri telefon bimbit.

Bersua dengan Aliff pada majlis pradengar sembilan daripada 10 lagu yang dimuatkan dalam album terbarunya Rebirth di pejabat Sony Music kelmarin, Aliff kelihatan tenang dan bagai sudah bersedia berdepan soalan media.

Dia bagaikan sudah mengetahui butiran bicara yang akan memfokus pada isu berkenaan berkata, itu masa yang sesuai untuk dia memberi penjelasan sebenar.

Aliff menegaskan dia tidak pernah mengelak media semata-mata mahu menyembunyikan perkara itu, sebaliknya mendakwa kehilangannya selama beberapa bulan itu adalah menunggu masa sesuai untuk memberi penjelasan.

"Saya hanya manusia biasa yang tidak sempurna. Jadi dengan segala isu yang berlaku itu, saya hanya mampu mengaku dan enggan memanjangkan cerita. Bagi saya, mana ada manusia terlepas daripada melakukan kesilapan.

"Apa yang berlaku kepada saya beberapa bulan lalu itu satu dugaan besar yang cukup mematangkan diri. Banyak yang saya pelajari mengenai erti kehidupan dan mujur keluarga pun cukup memahami.

"Pun begitu, saya ingin tegaskan sama sekali tidak pernah melarikan diri untuk memberi penjelasan. Cuma, ketika itu saya dinasihatkan keluarga supaya tidak mengeluarkan kenyataan ketika emosi tidak stabil," katanya.

Mengambil kira nasihat keluarga terutama ibu tersayang yang begitu memahami keadaan dirinya, Aliff berkata, dia perlu bijak bertindak dengan matang.

Teruja untuk menyiapkan album Rebirth yang berada di pasaran sekitar pertengahan Januari tahun depan, Aliff berkata, masih berbaki satu lagu ciptaan Awi Rafael lagi belum dirakamnya.

Kesal dan serik dengan apa yang menimpa dirinya, Aliff berkata, kini dia cukup berhati-hati dan mengawal dirinya untuk keluar bersosial.

Katanya, sekarang kebanyakan masanya dihabiskan di rumah bersama keluarga.

Jadi mangsa keadaan

Berbicara mengenai isu mencuri telefon bimbit itu, Aliff berkata, meskipun dia tidak pernah terbabit dengan perkara itu, tetapi dia terpaksa mengaku bersalah serta membayar denda selepas dinasihatkan peguam.

"Saya memang tidak pernah terbabit dengan insiden mencuri itu. Saya tidak terdesak untuk mencuri lebih-lebih lagi hanya telefon bimbit. Saya sudah ada karier dan mempunyai pendapatan sendiri.

"Tak ada gunanya saya perlu mencuri telefon bimbit yang saya sendiri mampu membelinya. Apapun, saya menjadi mangsa keadaan hanya disebabkan kesilapan diri berada di tempat dan masa yang salah.

"Ia sudah pun berlaku dan saya tidak mahu terus menuding jari kepada orang lain. Kini, apa yang berlaku menjadikan diri saya cukup matang dan penting lebih berhati-hati," katanya.

Menurut Aliff, undang-undang di Singapura amat ketat dan jika dia tidak mengaku salah, kes itu akan berlarutan dalam tempoh agak lama. Justeru, di atas nasihat peguam dia mengaku dan setuju membayar denda.

"Banyak urusan kerja saya tertangguh gara-gara isu yang berlaku itu. Jadi, saya enggan membazirkan masanya lagi terutama apabila memikirkan proses penghasilan album agak lama tergendala.

"Selain itu, saya juga mengambil peluang ini untuk meminta maaf kepada pihak produksi drama terbabit di atas segala yang berlaku. Saya memohon maaf kepada semua kru produksi yang kurang puas hati dengan saya sepanjang penggambaran itu.

"Selepas apa yang berlaku, buat masa ini saya juga tidak lagi mengambil sebarang tawaran berlakon kerana mahu memberi tumpuan kepada proses pembikinan album. Kini, fokus saya hanya pada album," katanya.

Sehubungan itu, antara lagu dimuatkan dalam album Rebirth Aliff nanti ialah Selayaknya Aku, Coba, Novella, Setelah Kau Pergi, Dengarkan Aku, Pujangga, Hari Ini termasuk dua lagu duet Dan Lagi Cinta bersama penyanyi Singapura, Huda dan Tak Ada Cinta Sepertimu (Siti Nordiana).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 November 2014 @ 5:00 AM