Turin: Gonzalo Higuain (gambar) menjaringkan gol ke-21 musim ini untuk membantu Napoli mengukuhkan cengkaman dalam Serie A dengan kemenangan 4-2 ke atas Sampdoria awal pagi semalam ketika kemenangan Juventus ke atas AS Roma 1-0 dibayangi insiden perkauman.

Sewaktu Napoli berjuang untuk kemenangan ke-14 sepanjang kempen kali ini, Inter Milan menerima padah berikutan beberapa kesilapan babak pertama apabila Kevin Lasagna menyamakan kedudukan pada saat akhir buat Carpi untuk seri 1-1 di San Siro.

Napoli kini dua mata mendahului Juventus, yang perlu berterima kasih kepada Paulo Dybala untuk jaringan pada minit ke-77 bagi memastikan kemenangan 1-0 di Turin, memberikan pasukan juara itu kemenangan liga ke-11 berturut-turut serta enam mata mendahului Fiorentina yang menang 2-0 ke atas Torino sebelum itu.

Kemenangan Juve di Turin dicemari kontroversi apabila pemain tengah Roma Daniele De Rossi didakwa mengeluarkan kecaman berbentuk perkauman terhadap penyerang Juventus dari Croatia, Mario Mandzukic. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2016 @ 10:21 AM