Turin, Itali: Mario Mandzukic (gambar) dan Paulo Dybala menjaringkan gol lewat permainan ketika skuad juara Juventus meneruskan kebangkitan mereka dalam Serie A dengan kemenangan 3-1 ke atas Fiorentina di Turin semalam.

Juventus meraih kemenangan keenam liga berturut-turut selepas bermula hambar musim ini, melonjak ke tangga keempat mengatasi AS Roma, untuk berada enam mata di belakang pendahulu Inter Milan.

Beberapa hari selepas kehilangan tempat pertama dalam kumpulan Liga Juara-Juara kepada Manchester City berikutan kekalahan 0-1 di tangan Sevilla, jurulatih Juventus Massimiliano Allegri berkata: “Kemenangan itu amat penting kerana kami baru saja melepasi beberapa minggu penuh tekanan yang mana kami menyertai perlawanan hebat dan meraih kemenangan.

“Kami masih ketinggalan, namun masih ada 22 perlawanan dan 66 mata untuk direbut musim ini.”

Inter terus melebarkan status pendahulu ke atas Fiorentina kepada empat mata dengan kemenangan 4-0 di tempat lawan ke atas Udinese kelmarin dan biarpun La Viola kekal di tangga kedua skuad Paulo Sousa kini ketinggalan empat mata.

Kekalahan Fiorentina bermakna mereka kini tewas tiga perlawanan kepada pencabar utama iaitu Napoli, Roma dan Juventus, selepas mengejutkan Inter 4-1 di San Siro pada akhir September. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2015 @ 5:54 AM