AIZAT kerja keras tingkat prestasi lakonan untuk kukuhkan nama.
AIZAT kerja keras tingkat prestasi lakonan untuk kukuhkan nama.
Oleh Ramlah Zainal


Barangkali nama pelakon muda Aizat Hassan kurang dikenali di persada hiburan tanah air. Hakikatnya, Aizat sudah menceburi bidang lakonan sejak berusia 16 tahun.

Bermula daripada kemunculannya dalam program The Band, Aizat, 23, terus mengembangkan bakatnya dalam bidang lakonan. Antara drama lakonannya, Qalesya yang bersiaran di Astro sebelum ini.

Manakala, filem lakonannya pula Aku Tak Bodoh bergandingan dengan Aeril Zafrel, Namron dan Amy Mastura. Namun, selepas filem itu, nama Aizat terus menyepi daripada bidang hiburan.

Secara peribadi, Aizat mengakui namanya kurang menyerlah berbanding rakan seperjuangannya dalam bidang lakonan.

“Saya tidak menyepi sebaliknya kurang mendapat tawaran berlakon kerana persaingan sengit de­ngan bakat baru yang mewarnai bidang seni ketika ini. Saya juga kurang mendapat publisiti di media massa dan sebab itu nama kurang dikenali ramai,” katanya.

Bersandarkan bakat dan minat mendalam, Aizat berkata, dia akan bekerja keras untuk mendapat tempat dalam bidang lakonan.

“Saya minat berlakon sejak kecil dan memilih bidang lakonan sebagai karier selepas menamatkan zaman persekolahan. Namun, masih banyak ilmu yang saya perlu ditimba untuk menjadi pelakon berkaliber,” katanya.

Aizat berkata, dia juga akan berusaha meningkatkan prestasi lakonan sekali gus mengukuhkan namanya dalam bidang seni tempatan.

“Saya percaya penonton sekarang sudah bijak menilai prestasi lakonan seseorang pelakon berbanding populariti dan saya juga lebih suka bersaing secara sihat dengan bakat baru yang mewarnai bidang seni ketika ini,” katanya.

Impi watak psiko

Sebagai pelakon serius, Aizat yang mengagumi pelakon senior Zamarul Hisyam mengimpikan watak yang mampu mencabar lakonannya seperti watak psiko ataupun pembunuh upahan dalam drama mahupun filem selepas ini.

“Saya juga mahu mencuba pelbagai watak sekali gus memberikan variasi dalam lakonan. Saya berharap ditawarkan karakter antagonis kerana ia mampu memberi impak kepada penonton,” katanya.

Bagi memastikan kerjaya seni berjalan lancar, Aizat memilih bernaung di bawah pengurusan MIG baru-baru ini.

“Alhamdulillah, kerjaya seni saya lebih terurus dan saya juga diberi kepercayaan beraksi dalam beberapa drama dan filem baru terbitan syarikat produksi itu tahun ini,” katanya.

Terbaru, Aizat berlakon dalam drama bersiri Hantu Punya Bos bergandingan de­ngan pelakon Syukri Yahya.

“Saya bawa watak Hisyam, sepupu kepada bos lakonan Syukri dan dia banyak menasihati dan memberi semangat kepada sepupunya dalam cerita ini,” katanya.

Selain itu, Aizat turut berlakon dalam drama 25 episod berjudul Ella Fitri yang kini bersiaran di portal video www.tonton.com.my bermula 6 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2016 @ 5:01 AM