Kuala Lumpur: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menyeru supaya lebih banyak lagi pemaju dan kontraktor tampil untuk mendapatkan penilaian terhadap projek mereka melalui penggunaan Sistem Penilaian Kualiti Bagi Projek Pembinaan (Qlassic) bertujuan memberikan hasil terbaik kepada pelanggan masing-masing.

Pengurus Besar Kanan Sektor Pembangunannya, Ir Ahmad Asri Abd Hamid berkata, langkah itu penting kerana Qlassic akan mendorong pemaju menghasilkan projek berkualiti, sekali gus menyumbang kepada penjenamaan pemaju dan pengiktirafan serta keyakinan pembeli terhadap pemaju terbabit.

"Sejak diperkenalkan pada 2007, hanya 700 projek dibina menggunakan Qlassic kerana masih ramai penggiat industri pembinaan tidak tahu mengenai kewujudan sistem penilaian ini ekoran kurangnya promosi," katanya kepada Bisnes Metro di sini, semalam.

Qlassic adalah satu sistem penilaian kualiti hasil kerja binaan bangunan yang diperkenalkan CIDB untuk memastikan projek dibina menepati standard kualiti pembangunan seperti digariskan dalam dokumen CIS 7: 2014 (Construction Industry Standard).

Beliau berkata, pelaksanaan Qlassic dilihat berhadapan kekangan apabila pemaju atau kontraktor lebih cenderung untuk menyiapkan projek mereka secepat mungkin dan hanya bertumpu kepada kos serta tempoh penyiapan projek.

Walaupun begitu, ketika ini terdapat segelintir syarikat pemaju besar sudah mengguna pakai Qlassic dalam menilai hasil kerja pembinaan projek mereka seperti Sime Darby Properties Sdn Bhd, Naza TTDI, I&P, MK Land Berhad dan Sunway Construction.

Untuk projek kerajaan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) meminta lima kementerian seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Perdana Menteri serta Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wiayah supaya melaksanakan penilaian Qlassic bagi projek masing-masing.

"Apa paling penting, pembeli perlu memiliki kesedaran mengenai kualiti hartanah yang ingin dibeli dan menyeru supaya mereka memohon pihak pemaju supaya melaksanakan penilaian Qlassic," katanya.

Mengulas mengenai perancangan CIDB dalam mempromosikan Qlassic, Ahmad Asri berkata, pihaknya sedang menggiatkan usaha promosi penggunaan Qlassic kepada penggiat industri, pembeli, serta orang ramai melalui media massa, bengkel dan seminar.

"Untuk tempoh jangka panjang, CIDB mencadangkan supaya kerajaan mewajibkan penilaian Qlassic ke atas semua projek pembinaan bangunan di negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 November 2014 @ 5:02 AM