FADILLAH (dua dari kiri) bersama Ahmad Asri (dua dari kanan) pada pelancaran Hari QLASSIC 2017, semalam.
FADILLAH (dua dari kiri) bersama Ahmad Asri (dua dari kanan) pada pelancaran Hari QLASSIC 2017, semalam.
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Kerajaan optimis Sistem Penilaian Kualiti Pembinaan (QLASSIC) yang dikendalikan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) berupaya menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri pembinaan negara dalam meningkatkan tahap kualiti sektor terbabit.

QLASSIC adalah satu sistem dan kaedah mengukur serta menilai kualiti kerja dalam projek pembinaan berdasarkan Piawaian Industri Pembinaan 7 (CIS 7) dan dilaksana bagi membolehkan perbandingan secara objektif kualiti projek pembinaan menerusi sistem pemarkahan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, inisiatif itu seiring dengan aspirasi kerajaan bagi memastikan semua projek pembinaan menepati piawaian yang diukur melalui mutu kerja yang tinggi bagi mencapai hasil kerja yang unggul.

Beliau berkata, peningkatan kualiti secara berterusan dalam pembinaan adalah kritikal memandangkan sektor terbabit antara pemacu utama dalam transformasi ekonomi negara.

“Hasil kerja binaan yang berkualiti tinggi mampu meningkatkan imej industri pembinaan negara dan secara tidak langsung dapat menarik pelaburan ke dalam negara.

“Jika kita lihat kepada kategori projek pembinaan dua tahun lalu, pembinaan bangunan adalah projek paling banyak dilaksanakan. Jadi adalah penting untuk menitikberatkan kualiti dihasilkan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Hari QLASSIC 2017 di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ahmad Asri Abdul Hamid. Pada 2015, daripada 7,544 projek bernilai RM104.7 bilion yang dilaksanakan, 2,093 adalah projek kediaman, 2,692 projek bukan kediaman, 736 projek kemudahan sosial dan 2,033 projek infrastruktur.

Bagi 2016 pula, daripada 6,855 projek yang dilaksanakan, 1,854 adalah dari segmen kediaman, 2,409 projek bukan kediaman, 677 projek kemudahan sosial dan 1,915 projek infrastruktur.

Sementara itu, pada majlis sama menyaksikan sebanyak 43 pemaju dan kontraktor mendapat pengiktarafan kerana mencapai skor 80 peratus berdasarkan sistem QLASSIC.

Ahmad Asri berkata, pada 2016 kadar terima pakai sistem itu meningkat dengan 311 projek yang dinilai berbanding 303 dan 252 projek pada 2015 dan 2014, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan projek yang dinilai dengan QLASSIC ialah 1,515 projek.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2017 @ 8:32 AM