FIZO berterima kasih setiap komen diberikan, jadikan pengajaran tingkat mutu perkhidmatan restoran.
FIZO berterima kasih setiap komen diberikan, jadikan pengajaran tingkat mutu perkhidmatan restoran.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Baru tiga minggu beroperasi, restoran Fizomawar Kitchen milik pelakon, pengacara dan ahli perniagaan Fizo Omar, 31, sudah beberapa kali menerima kritikan berhubung perkhidmatan disediakan.

Lebih malang apabila perkara terbabit dikongsi pelanggan dengan memuat naik di laman sosial, malah ada yang menulis di blog sendiri.

Antara dakwaan mereka ialah perkhidmatan di restoran berkenaan lembap dan harga tidak berpatutan.

Tidak melatah dengan setiap teguran itu, Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar lebih bersikap positif.

“Saya bersyukur dan berterima kasih dengan setiap komen diberikan. Mereka sudah menjadi mata dan telinga saya. Dalam perniagaan, saya tidak berseorangan sebaliknya dibantu pekerja lain,” katanya.

Mengakui perkara itu di luar jangkaan dan kemampuannya, Fizo tampil memohon maaf.

“Sekiranya apa yang dimuat naik dan disebarkan itu berlaku, saya wajar bertanggungjawab. Justeru, saya tidak menyalahkan teguran dan kritikan mereka. Malah, saya beruntung kerana masih ada individu yang sudi mengambil berat,” katanya.

Menurut Fizo, restoran yang beroperasi di Bangi, Selangor itu dibuka mulai jam 11 pagi hingga 10 malam setiap hari kecuali Isnin dan menerima lebih 1,000 pelanggan setiap hari.

“Dalam keadaan itu, apa saja boleh berlaku dan ada pelanggan yang terpaksa beratur. Justeru, dengan rasa rendah diri saya mohon maaf jika ada yang terpaksa menunggu lama,” katanya.

Jelas pengacara program Nasi Lemak Kopi O ini lagi, apa yang berlaku itu dijadikan pengajaran dalam meningkatkan mutu perkhidmatan restoran itu.

“Saya anggap tindakan mereka menulis di laman sosial dan membuat ulasan di blog itu adalah cara terbaik. Sekiranya mereka tidak berbuat demikian, sudah tentu saya tidak tahu kelemahan perniagaan saya.

“Tambahan pula, sebelum ini saya jarang berada di restoran atas utusan kerja lain. Alhamdulillah, selepas beberapa insiden, banyak perkara sudah diperbetul dan dipertingkatkan. Satu daripadanya memberi teguran kepada pekerja terbabit,” katanya.

Menurut Fizo, selepas membuat penambahbaikan dari segi perkhidmatan, perkara sama sudah tidak berulang.

Sebaliknya, pelakon filem Cinderella ini meluahkan rasa syukur apabila restoran miliknya semakin mendapat sambutan.

“Meski kritikan dilemparkan berbaur negatif, saya menganggap ia sebagai bentuk promosi dan pemasaran. Sejak itu, semakin ramai pelanggan datang berkunjung sehingga tidak menang tangan dibuatnya.

“Dari situ pekerja juga semakin ambil berat dari segala segi. Saya juga meluangkan lebih banyak masa di restoran. Jika ada mesyuarat sekali pun, saya adakan di situ,” katanya.

Pada masa sama, Fizo menafikan ada pihak tidak berpuas hati dengan apa dimiliki hari ini.

Menganggap perkara berlaku sebagai cabaran baru untuknya, Fizo tidak mahu menyerah kalah dan berputus asa.

“Tujuan utama saya membuka perniagaan ini sebagai hadiah kepada ibu dan isteri tercinta. Pada masa sama, tentu saja saya mahu memberi peluang pekerjaan kepada orang lain.

“Niat saya untuk berkongsi rezeki. Saya percaya semua itu adalah dugaan agar saya menjadi lebih kuat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2016 @ 12:33 PM