VIVY tidak sesekali membiarkan cabaran menghalangnya untuk berjaya.
VIVY tidak sesekali membiarkan cabaran menghalangnya untuk berjaya.
Faizatul Farlin Farush Khan


Namanya sudah gah dalam bidang e-dagang dan fesyen tanah air, namun keperibadiannya yang sentiasa merendah diri dan mudah mesra membuatkan Vivy Sofinas Yusof, 28, bukan saja disenangi ramai, malah menjadi idola kepada ramai wanita yang ingin berjaya dalam bidang masing-masing.

Vivy yang menguruskan perniagaan e-dagang dunia fesyen, FashionValet bersama suaminya sejak enam tahun lalu, mengakui dirinya seorang yang tegas, bercita-cita tinggi dan akan melakukan apa yang perlu untuk mengejar matlamatnya sehingga ia tercapai.

Seorang yang tenang dalam berhadapan cabaran, Vivy bagaimanapun berkata, dia berpendapat bukan mudah untuk orang lain bekerja di bawahnya memandangkan sifatnya yang mahu sesuatu perkara dilakukan dengan pantas.

Dia turut mengakui, pemilihan kakitangan dalam syarikat diberi perhatian serius kerana dia mahukan mereka yang benar-benar tegar dan sukar untuk dia menerima pekerja yang lemah, mudah tersentuh atau tidak boleh ditegur.

“Pada saya, sekiranya kita hendak maju dalam hidup, kita perlu terbuka dan menerima kritikan membina seterusnya memperbaiki diri dan tidak mudah mengambil hati dengan teguran.

“Biarpun begitu, saya akan menegur secara lembut dan sangat sensitif terhadap perasaan kakita­ngan saya. Jika saya melihat mereka seperti ada masalah, saya berbincang dengan mereka,” katanya.

Lebih menarik, pendirian Vivy, selain menerima kekurangan diri dan cuba memperbaikinya, seharusnya bertanya kepada mereka yang mengkritik atau tidak suka dengan cara dirinya supaya boleh melihat situasi itu dari sudut lain dan menjadi lebih baik berbanding sebelumnya.

Katanya, dalam usaha menjadi yang terbaik, kita tidak seharusnya hanya bertanya pandangan kaum keluarga atau rakan rapat, sebaliknya mencari mereka yang ‘tidak suka’ pada kita untuk berhadapan perkara sebenar.

Vivy berkata, ramai yang tidak mahu dikritik tetapi mereka perlu matang dan menerima kritikan kerana dalam luahan yang dianggap negatif oleh sesetengah orang itu, ada perkara benar yang seharusnya diambil perhatian.

Dia juga tidak suka memendam masalah dan sekiranya ada sebarang kesulitan atau cabaran baik dari segi profesional atau peribadi, ia akan diselesaikan secepat mungkin.

Sifatnya yang gemar melakukan sesuatu dengan pantas terbukti apabila FashionValet hanya mengambil tempoh sebulan untuk beroperasi bermula daripada konsep idea yang tercetus.

Dalam tempoh sebulan itu, Vivy dan suami me­ngumpul modal, membuat kertas kerja, bertemu pereka fesyen tempatan, menjalankan sesi fotografi, menyiapkan laman web dan bertemu rakan kongsi bagi menubuhkan pusat sehenti fesyen e-dagang, FashionValet yang juga pertama seumpamanya ketika itu.

Perkenal pengalaman baru

Idea tercetus apabila Vivy pulang ke tanah air selepas tamat belajar di London School of Economics, United Kingdom (UK).

Ketika di UK, membeli-belah dirasakan begitu mudah kerana ia boleh dilakukan secara dalam talian tetapi sebaik tiba di tanah air, Vivy menganggap ia peluang untuk dirinya memperkenalkan pengalaman membeli-belah yang baru kepada pembeli di negara ini.

“Apabila sudah yakin dengan sesuatu, saya berusaha merealisasikannya apatah lagi saya tahu ia adalah idea yang baik dan jika saya lambat, orang lain akan membuatnya. Kita boleh memiliki bermacam idea yang bagus tetapi jika kita tidak melakukannya, tidak ada gunanya.

“Ketika dalam proses menubuhkan FashionValet, boleh dikatakan itu saja yang saya fikirkan dan saya berkobar-kobar sehingga ada kalanya tidak boleh tidur.

“Pemilihan e-dagang dalam bidang fesyen kerana saya juga suka membeli-belah seperti ramai wanita lain. Saya juga seorang penulis blog dan pengikut saya ramai wanita,” katanya.

Dengan modal RM100,000 ketika itu tiga kakitangan termasuk dirinya dan 10 produk pada awalnya, FashionValet kini sudah mempunyai 120 kakitangan dan menawarkan lebih 500 produk fesyen malah kini sudah memasuki pasaran Indonesia dan Singapura.

Selain jualan melalui talian, FashionValet juga memiliki butik fizikal di pusat beli-belah Bangsar Village, Kuala Lumpur dan Orchard Road, Singapura, yang dianggap langkah terbaik untuk meluaskan pasaran kepada golongan pembeli yang tidak membeli-belah secara dalam talian.

Berpegang kepada pendirian kita perlu melayan orang bagaimana kita mahu dilayan, Vivy turut mengambil inisiatif melakukan kerja di unit berbeza dalam syarikat kerana ia secara tidak langsung membuatkannya lebih dekat dan memahami bebanan tugasan pekerja.

Dia juga tidak kisah untuk melayan sendiri pelanggan menerusi talian perkhidmatan pelanggan kerana mahu tahu permintaan dan kehendak pelanggan.

Selendang dan beg tangan

Vivy yang juga pengasas The dUCk Group yang mengeluarkan selendang premium dengan edisi terhad jenama dUCk, turut bekerjasama dengan syarikat pereka beg, Sometime, bagi menghasilkan beg tangan wanita berjenama Sofina.

Menurut Vivy, dia memberi fokus kepada pereka tempatan dan peringkat Asia, serta menawarkan rekaan eksklusif yang hanya boleh didapati melalui FashionValet.

“Biarpun kami yang pertama di pasaran tempatan tetapi kehadiran laman e-dagang yang juga pesaing terbesar kami pada masa itu pernah membuatkan kami rasa tercabar tetapi saya percaya jika itu rezeki kami, kami pasti akan mendapat rezeki itu,” katanya.

Sokongan diberikan ibu bapa dan suami dan saling memberi motivasi, antara yang menguatkan lagi semangat Vivy untuk melangkah lebih jauh dan mengembangkan perniagaan di peringkat Asia dan memasuki pasaran negara lain dalam tempoh akan datang.

Melihat kepada kesibukan Vivy menguruskan perniagaan, ibu kepada dua anak ini, Daniel, 3, dan Mariam, setahun setengah, mengakui masa lapang agak terhad tetapi masa yang terluang dihabiskan sepenuhnya bersama keluarga.

“Setiap pagi, saya jalankan tanggungjawab menyiapkan anak-anak dan menghantar mereka ke sekolah, dan pada hari minggu bawa mereka ke kelas renang. Setahun sekali kami bercuti ke mana-mana destinasi menarik,” katanya.

Selain berniaga, Vivy juga seorang penulis blog dan gemar menulis mengenai apa saja yang terlintas di fikirannya di ruang www.proudduck.com.

Ia adalah hobi peribadi­nya yang dimulakan sejak masih belajar dan dianggap tempat ‘escape’ atau ‘happy place’ dirinya kerana dia sememangnya gemar menulis tanpa mengira topik.

“Jika terlalu sibuk hingga lama tidak menulis, saya rasa seperti ada yang tidak kena kerana bagi saya blog ialah saluran untuk meluah­kan segalanya, seterusnya meringankan kepala,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2016 @ 6:10 AM