KHALID (kiri) melihat jersi baru diperagakan pemain Wira Semenyih SCFC.
KHALID (kiri) melihat jersi baru diperagakan pemain Wira Semenyih SCFC.
Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Selepas menjulang satu daripada tiga kejuaraan Kejohanan Bola Sepak Akar Umbi 2015 (KEBSAU 2015) diadakan di Kuala Pilah, pasukan Wira Semenyih SCFC mendapat suntikan semangat apabila menerima penajaan jersi baru di padang Balai Polis Semenyih, baru-baru ini.

Pengurus pasukan itu Khairol Nizam Abdullah berkata, prestasi terbaik dipamerkan skuad itu dalam kejohanan antara kelab akar umbi membuka mata banyak pihak sehingga mendorong mereka menyumbang jersi baru.

Katanya, antara penyumbang termasuk wakil rakyat kawasan, syarikat korporat dan tokoh masyarakat yang sama-sama ingin melihat kejayaan pasukan itu pada masa depan.

“Kami begitu terharu kerana ada pihak yang sudi membantu pasukan. Saya yakin dan percaya menerusi sumbangan itu pasti menaikkan semangat pemain berusaha keras meningkatkan prestasi dalam pelbagai kejohanan peringkat akar umbi yang akan berlangsung sepanjang tahun ini.

“Lebih penting, Kejohanan 1MCC 2016 yang akan membabitkan kelab akar umbi terbaik tempatan membabitkan pertandingan bagi kategori bawah 8, 10 dan 12 tahun,” katanya.

Pada majlis itu, bekas pemain bola sepak kebangsaan Khalid Ali dan See Kim Seng menurunkan ilmu masing-masing kepada pemain cilik berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2016 @ 10:11 AM