PRESIDEN ABIM, Mohamad Raimi Abdul Rahim bersama Mohamed Haniff (kiri) ketika sidang media selepas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Sairien Nafis
PRESIDEN ABIM, Mohamad Raimi Abdul Rahim bersama Mohamed Haniff (kiri) ketika sidang media selepas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Sairien Nafis
Oleh Murni Wan Omar dan Mahaizura Abdul Malik


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi, hari ini menolak permohonan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan dua lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendapatkan kebenaran semakan kehakiman berhubung isu Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Hakim Datuk Hanipah Farikullah membuat keputusan itu selepas bertemu Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan dan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili ABIM di kamarnya.

Shamsul mewakili Perdana Menteri, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Kerajaan Malaysia yang dinamakan sebagai responden.

Sementara itu, Mohamed Haniff ketika ditemui berkata, mahkamah berpendapat ia tidak boleh membuat keputusan berhubung permohonan kebenaran itu kerana perjanjian itu masih belum ditandatangani.

Pada 4 November tahun lalu, ABIM bersama Urusetia Menangani Gejala Sosial (UNGGAS MALAYSIA) dan Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Melayu Malaysia (TERAS) memfailkan permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman untuk mendapatkan perintah penggantungan terhadap ketiga-tiga responden daripada meneruskan proses menandatangani TPPA sehingga permohonan mereka diputuskan oleh mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2016 @ 12:57 PM