FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Murni Wan Omar


MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 29 Oktober depan untuk keputusan permohonan semakan kehakiman dikemukakan tujuh individu yang mencabar Kementerian Kesihatan berhubung larangan merokok.

Hakim Datuk Seri Mariana Yahya selepas selesai mendengar hujah Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan yang mewakili Kementerian Kesihatan dan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili tujuh individu terbabit.

Terdahulu, Shamsul berhujah keputusan Kementerian Kesihatan menguatkuasakan larangan merokok adalah isu yang tidak boleh dihakimi.

“Larangan merokok adalah keputusan polisi kerajaan. Oleh itu, pemohon tidak mempunyai hak di sisi undang-undang untuk memaksa responden (Kementerian Kesihatan) melarang penguatkuasaan peraturan ini.

“Walaupun dengan larangan merokok, pemohon masih boleh berada di premis makanan sehingga jam 3 pagi selagi mereka merokok luar kawasan dan dengan itu penguatkuasaan ke atas larangan merokok adalah berperlembagaan,” katanya.

Sementara itu, Haniff Khatri dalam hujahnya berkata, larangan merokok adalah bertentangan undang-undang perlembagaan.

“Merokok adalah bukan satu kesalahan jenayah atau diharamkan di Malaysia. Malah, tiada peruntukan yang mengharamkan aktiviti merokok. Kami berhujah bahawa kebebasan merokok adalah hak asasi manusia yang dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Walaupun golongan bukan perokok mempunyai hak untuk tidak didedahkan kepada asap rokok, perokok juga mempunyai hak untuk menjalankan aktiviti dan mengunjungi serta menghabiskan masa mereka di premis makanan seberapa lama mereka inginkan,” katanya.

Pada 29 Januari lalu, tujuh individu memperoleh kebenaran di Mahkamah Tinggi untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Kementerian Kesihatan yang mewartakan semua tempat makan sebagai kawasan larangan merokok bermula awal Januari lalu.

Individu berkenaan ialah Mohd Hanizam Yunus, 52; Zulkifli Mohamad, 56; Mohd Laisani Dollah, 46; Mohd. Sufian Awaludin, 35; Ridzuan Muhammad Noor, 52; Mohd Yazid Mohd Yunus, 48; dan Yuri Azhar Abdollah, 39.

Dalam permohonan kebenaran difailkan pada 31 Disember tahun lalu, tujuh perokok memulakan tindakan undang-undang bagi mencabar keputusan kerajaan menguatkuasakan larang merokok di semua premis makan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 6:09 PM