MOHD Sheriff
MOHD Sheriff

Kuala Lumpur: Kejatuhan harga pasaran minyak dijangka melihatkan pengubahsuaian Bajet 2016 dan ia dianggap sebagai langkah praktikal dalam menghadapi cabaran persekitaran ekonomi global yang tidak menentu tahun ini.

Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia (MEA), Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim berkata, pengubahsuaian adalah langkah terbaik dan tepat pada masanya untuk memastikan kerajaan dapat mengendalikan perbelanjaan secara efisien serta berhemat.

Beliau berkata, pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada 1 April tahun lalu dan beberapa pemansuhan subsidi membantu mengukuhkan kedudukan kewangan semasa negara supaya lebih berdaya tahan.

“Kita melihat kejatuhan harga minyak dunia kini berada di luar kawalan dan ia bukan sahaja memberi kesan kepada Malaysia namun negara lain di seluruh dunia turut merasai tempias sama.

“Malaysia masih lagi dalam landasan tepat apabila kerajaan turut melaksanakan inisiatif tertentu seperti mengadakan pelbagai reformasi fiskal yang dilaksanakan sepanjang tahun lalu dan banyak membantu untuk kewangan negara serta rakyat,” katanya ketika ditemui selepas Forum TPPA 2016 di sini, semalam.

Harga minyak mentah Amerika Syarikat (AS) terus menurun lebih dua peratus dalam dagangan awal pagi semalam apabila peniaga hilang keyakinan terhadap keupayaan pasaran untuk pulih dalam masa terdekat dengan menjangkakan harga akan terus menjunam.

Minyak Mentah AS West Texas Intermediate (WTI) menjunam lebih dua peratus ke paras rendah baru iaitu AS$32.43 (RM142.63) setong sebelum merangkak kembali ke paras AS$32.51 (RM142.98), namun masih lebih rendah AS$0.65 (RM2.86).

Selain itu, Mohd Sheriff berkata, usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang akan membentangkan pengubahsuaian Bajet 2016 dalam waktu terdekat bagi menyiapkan negara menghadapi pelbagai cabaran ekonomi dunia adalah berdasarkan realiti ekonomi semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2016 @ 6:53 AM