Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya : Masyarakat kena faham, kelembapan ekonomi negara disebabkan pelbagai faktor luaran di luar kawalan kerajaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, ia bukan kesilapan atau kelemahan negara sebaliknya didorong beberapa faktor luar termasuk kejatuhan mendadak harga minyak dunia, kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat dan kelembapan ekonomi China.

Beliau berkata, negara kini sedang berdepan ekonomi yang mencabar, justeru tumpuan harus diberikan sebagai sebuah negara, kerajaan dan pentadbiran.

“Semua kena faham bahawa ia bukan kesilapan kita, bukan kelemahan kita, tetapi faktor-faktor di luar kawalan kita,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini, semalam.

Katanya, sebagai sebuah negara pengeluar minyak, ia memberi kesan kepada penyusutan hasil negara kira-kira RM30 bilion.

Najib berkata, apabila Bajet 2016 dibentangkan baru-baru ini, kerajaan meletakkan paras harga minyak AS$48 setong, namun, ia kini menjunam AS$32 setong, justeru kerajaan perlu melakukan pengubahsuaian bajet.

Dalam perkembangan sama, Najib berkata, beliau mahu setiap kementerian melaksanakan langkah pengoptimumkan perbelanjaan selain mahu penjawat awam menggunakan daya fikiran kreatif dan inovatif untuk meningkatkan produktiviti.

Menurutnya, dua perkara itu perlu menjadi tumpuan utama dalam pentadbiran kerajaan tahun ini, sekali gus membantu menangani faktor luaran yang tidak dapat dikawal Malaysia.

“Mengoptimumkan perbelanjaan tidak bermaksud sebagai langkah jimat cermat dan memotong perbelanjaan, sebaliknya melihat bagaimana setiap ringgit yang dibelanjakan mendatangkan hasil dan kesan paling besar,” katanya.

Selain itu, katanya, beliau juga bercadang menubuhkan satu kumpulan kecil bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa bagi menyelesaikan projek yang lambat dilaksanakan di peringkat agensi kerajaan.

“Kami akan panggil agensi atau kementerian berkaitan untuk melihat apa yang menyebabkan sesuatu projek itu lambat.

“Saya juga meminta pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) untuk menjadi sekretariat bagi mengenal pasti tempat tertentu yang boleh diberi tumpuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2016 @ 8:38 AM