ORANG ramai menonton siaran langsung pembentangan Bajet 2016 di Shah Alam pada Oktober lalu. FOTO arkib NSTP Mohd Asri Saifuddin Mamat
ORANG ramai menonton siaran langsung pembentangan Bajet 2016 di Shah Alam pada Oktober lalu. FOTO arkib NSTP Mohd Asri Saifuddin Mamat
Oleh Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Kerajaan bercadang untuk melakukan pengubahsuaian Bajet 2016 dari segi beberapa aspek dalam tempoh terdekat supaya lebih realistik dan tepat sesuai dengan keadaan ekonomi global semasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, pengubahsuaian bajet itu terpaksa dilakukan selepas mengambil kira senario ekonomi dan impak ekonomi domestik yang berubah selain kejatuhan harga minyak dunia kepada AS$31 (RM135) setong.

Beliau berkata, kejatuhan harga minyak dunia memberi kesan kepada ekonomi dunia dan Malaysia justeru, pengubahsuaian bajet perlu dilakukan memandangkan Bajet 2016 dibuat berdasarkan harga minyak dunia AS$48 (RM209) setong.

"Dalam perbentangan bajet itu, saya akan huraikan langkah tambahan untuk mengoptimumkan perbelanjaan serta peranan yang boleh dimainkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Malah, pengubahsuaian bajet itu juga akan memastikan kesejahteraan rakyat terus diperjuangkan," katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Khas bersama warga Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2016 @ 10:32 AM