Oleh Sofyan Rizal Ishak dan Nabil Basaruddin dan Siti Farahiyah Aziz


Kuala Lumpur: MyRumah, pameran dan forum hartanah anjuran Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) dengan kerjasama Andaman Property Management Sdn Bhd (Kumpulan Andaman) mencatatkan kejayaan cemerlang apabila berjaya meraih jualan sehingga RM10 juta membabitkan tempahan lebih 20 unit rumah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Andaman, Datuk Seri Dr Vincent Tiew berkata, pameran yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lalu turut menjadi platform kepada orang ramai mempelajari pelbagai teknik dan selok belok dalam dunia hartanah khususnya pembeli rumah pertama.

Beliau berkata, pameran itu turut menerima lebih 15,000 pengunjung dengan kebanyakan sesi ceramah diadakan mendapat sambutan menggalakkan dan dianggap sebagai satu permulaan yang hebat memandangkan ia adalah penganjuran kali pertama NSTP di negara ini.

“Pengunjung yang hadir bukan sahaja dapat meninjau harga rumah semasa, namun mereka juga berpeluang melihat sendiri pelbagai jenis projek perumahan ditawarkan oleh pemaju perumahan sama ada jenis bertingkat ataupun bertanah.

“Selain itu, mereka juga dapat meluangkan masa bagi sesi penerangan daripada institusi kewangan yang terbabit dalam pameran kali ini iaitu Malaysian Building Society Berhad (MBSB) mengenai isu pembiayaan pinjaman perumahan dan bagaimana mereka layak untuk memohon,” katanya, semalam.

Pameran hartanah MyRumah menghimpunkan 12 pemaju hartanah tempatan yang menawarkan rumah mampu milik dengan lingkungan harga bawah paras RM500,000 di sekitar Lembah Klang.

Antara pemaju yang menyertai pameran ialah PNB Development Sdn Bhd, Kota Seriemas, D’Sara Sentral, LBS Bina Group Bhd, UMLand, UDA Holdings Bhd, Glomac Bhd, Thriven Global Bhd dan Putrajaya Holdings Sdn Bhd.

Vincent berkata, MyRumah bakal diadakan di Johor Bahru sebelum pertengahan tahun ini namun perkara itu masih lagi dalam perancangan dan akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro mendapati, orang ramai menunjukkan minat memberangsangkan kepada sesi perancangan kewangan khususnya mereka yang ingin memiliki rumah pertama di usia yang muda.

Jurutera, Nurul Nazeerah Mishan, 25, berkata, perancangan kewangan yang teliti sangat penting bagi membolehkan generasi muda mampu memiliki hartanah sendiri.

“Kunjungan kali pertama ini lebih tertumpu kepada perkongsian ilmu pelaburan hartanah sebagai persediaan akan datang kerana pelbagai perkara boleh dilakukan dengan perancangan yang tepat dalam membeli dan memiliki rumah.

“Sebagai graduan yang baru menamatkan pengajian, ia memberi saya gambaran yang jelas dan pengetahuan berkenaan harga hartanah semasa serta proses jual beli secara terperinci yang mudah difahami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2016 @ 6:44 AM