ANTARA pengunjung yang hadir ke pameran MyRumah, semalam.
ANTARA pengunjung yang hadir ke pameran MyRumah, semalam.
DARI kanan, Abdul Jalil, Dr Vincent, Mohamed Jawhar dan Mohammad Azlan mendengar penerangan daripada Pengurus  Besar Glomac, Abdul Jamil Shaikh (kiri).
DARI kanan, Abdul Jalil, Dr Vincent, Mohamed Jawhar dan Mohammad Azlan mendengar penerangan daripada Pengurus Besar Glomac, Abdul Jamil Shaikh (kiri).
Oleh Sri Ayu Kartika Amri dan Wan Nur Ameera Meor Rozman

Kuala Lumpur: Pameran Hartanah MyRumah anjuran The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) dengan kerjasama Andaman Group dijangka menjadi acara tahunan untuk memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan maklumat mengenai hartanah yang diimpikan.

Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, MyRumah acara hartanah pertama NSTP yang menampilkan pakar hartanah untuk berkongsi tips pelaburan dan pasaran terkini industri hartanah.

Beliau berkata, dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar sekarang, MyRumah dijangka menjadi platform yang boleh menyakinkan orang ramai dalam bidang hartanah.

“Pameran Hartanah MyRumah platform terbaik orang ramai mendapatkan maklumat terus dan tawaran hartanah terkini bagi merealisasikan impian memiliki rumah pertama.

“Malah, pengunjung berpeluang bertanya secara langsung dengan penceramah terdiri daripada pakar dan pemain hartanah,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Pameran Hartanah MyRumah, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi NSTP, Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan, Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid dan Pengarah Urusan Andaman Group, Datuk Seri Dr Vincent Tiew.

Mohammad Azlan berkata, NSTP berusaha menjadikan penganjuran MyRumah sebagai program tahunan jika mendapat sambutan daripada orang ramai.

Menurutnya, pameran hartanah MyRumah dibuka percuma kepada orang ramai di ruang awam Balai Berita Bangsar dari jam 10 pagi hingga jam 6 petang dan tempat letak kereta bagi pengunjung turut disediakan.

Acara MyRumah selama tiga hari itu bermula semalam hingga 10 Januari (Jumaat hingga Ahad) dengan menawarkan pelbagai cabutan bertuah dan aktiviti menarik lain, selain berpeluang membawa pulang hadiah cabutan bertuah 50 jam tangan Ice Watch bernilai RM450 pada setiap sesi ceramah dan 10 baucar IKEA bernilai RM1,000 setiap satu.

Sementara itu, Dr Vincent berkata, pembeli rumah pada pameran itu berpeluang mendapat hadiah cabutan bertuah pakej melancong ke Gold Coast, Australia untuk dua orang dengan semua perbelanjaan ditanggung.

Beliau berkata, penaja institusi kewangan MyRumah iaitu Malaysia Building Society Bhd (MBSB) menawarkan pakej pembiayaan menarik kepada pembeli khususnya pembeli rumah kali pertama.

Antara pemaju menawarkan projek perumahan mampu milik ialah Andaman Group, PNB Development Sdn Bhd, Kota Seriemas, D’Sara Sentral, LBS Bina Group Bhd, United Malayan Land Bhd (UMLand), UDA Holdings Bhd, Glomac Bhd, Jotun, Thriven Global Bhd dan Putrajaya Holdings Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2016 @ 5:14 AM