MURRAY
MURRAY
AFP

Perth: Bintang tenis Australia Nick Kyrgios sudah bersedia untuk ujian awal musim ini menentang pemain nombor dua dunia Andy Murray selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menang perlawanan hari pertama Piala Hopman di sini, semalam.

Kyrgios, 20, yang mengejutkan ramai dengan kerenahnya di gelanggang tahun lalu, terlalu hebat buat seorang lagi pemain muda Alexander Zverev menerusi corak permainan pantas.

Dia yang ketinggalan set pertama bangkit pada set kedua untuk menewaskan pemain remaja Jerman itu dalam tempoh lebih sejam, 4-6, 6-1, 6-4.

Kyrgios akan berdepan Murray apabila Australia Green, satu daripada dua pasukan mewakili tuan rumah dalam kejohanan itu menentang Great Britain pada Rabu nanti - perlawanan yang amat dinantikan pemain itu.

“Saya menantikan perlawanan itu sejak sekian lama. Saya akan lakukan apa saja untuk persiapan fizikal bagi pertarungan itu,” katanya.

Murray memenangi kesemua empat pertemuan mereka sebelum ini. Terbaru, di Terbuka Amerika Syarkat tahun lalu dengan Kyrgios hanya berjaya merampas satu set daripada pemain Scotland itu.

Zverev, berusia 18 tahun dikatakan bakal menyerlah bersama Kyrgios untuk menjadi bintang sukan itu bagi dekad selepas ini.

Dia meraih satu-satunya break pada set pertama, namun pemain Australia yang penuh semangat itu kekal tenang untuk menguasai perlawanan.

“Saya rasa Zverev bertuah pada set pertama. Saya gagal meraih lebih banyak mata,” kata Kyrgios menduduki ranking 30 dunia.

Daria Gavriola menewaskan Sabine Lisicki yang menampilkan corak permainan berkarat dalam acara perseorangan wanita dengan kemenangan 6-2, 6-2 sebelum Australia Green menyapu bersih kemenangan apabila memenangi beregu campuran 6-3, 4-6, 10-7.

Daria yang mempunyai ranking ke-36 dunia, meraikan penampilan pertamanya untuk Australia dengan kemenangan selesa ke atas Sabine.

Dia yang dilahirkan di Russia hanya baru menerima kerakyatan Australia bulan lalu, berkata agak gemuruh sebelum perlawanan itu.

Bagi Sabine, perlawanan itu yang pertama buatnya sejak Terbuka AS pada September lalu.

Finalis Wimbledon 2013 itu tewas pusingan keempat kepada Simona Halep di Terbuka AS dan terpaksa berehat panjang kerana kecederaan lutut bagi baki tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2016 @ 8:27 AM