DARIA memenangi 54 peratus daripada servis pertamanya dan mematahkan servis Caroline sebanyak enam kali.
DARIA memenangi 54 peratus daripada servis pertamanya dan mematahkan servis Caroline sebanyak enam kali.
AFP

INDIAN WELLS, Amerika Syarikat: Pemain Russia, Daria Kasatkina yang berjaya menewaskan kesemua empat penyandang juara Grand Slam setakat ini menyingkirkan pemain nombor dua dunia, Caroline Wozniacki daripada WTA Indian Wells, hari ini.

Kemenangan 6-4, 7-5 adalah yang kedua direkodkan Daria ke atas Caroline selepas turut menewaskan penyandang juara Terbuka Australia itu di kejohanan St. Petersburg, bulan lalu.

Daria, 20, memperbaiki rekodnya di Jelajah WTA pada musim ini kepada 11-6 dalam usahanya memperbaiki pencapaiannya mara ke peringkat suku akhir di sini pada 2016.

Daria melakukan satu servis ace, memenangi 54 peratus daripada servis pertamanya dan mematahkan servis Caroline sebanyak enam kali dalam perlawanan yang memakan masa satu jam 40 minit.

“Dia mengatasi saya pada hari ini, yang saya fikir cukup adil,” kata Caroline. “Tetapi kamu juga tahu, sekurang-kurangnya saya mencuba, saya cuba untuk melakukan apa yang saya fikir saya perlukan di sini hari ini.

“Saya hanya tidak mampu melakukannya sebaik yang mungkin seperti yang saya mahukan.”

Ia jelas satu penyingkiran yang menyakitkan bagi Caroline yang akhirnya berjaya mendiamkan pengkritiknya, awal tahun ini susulan kejayaan merangkul gelaran Grand Slam pertamanya di Melbourne.

Kemenangan ke atas Simona Halep di pentas final itu bukan saja menghadiahkan Caroline gelaran sulungnya di Grand Slam tetapi ranking pertama dunia tetapi kembali dirampas Halep sebelum Indian Wells.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 2:55 PM