Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Jurulatih perseorangan negara Indra Wijaya yang diberi tanggungjawab membimbing barisan pemain muda negara mengakui masih terlalu awal untuk melihat anak didiknya mampu pencabar kejuaraan.

Indra berkata, beliau memahami dilema dihadapi acara perseorangan lelaki ketika ini berikutan ketiadaan pengganti terbaik untuk jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei.

“Saya harus mengakui ia akan mengambil masa lama sebelum kami mempunyai pemain yang mampu untuk beraksi pada tahap tertinggi.

“Ketika ini kami mempunyai tiga jurulatih dalam acara perseorangan termasuk Hendrawan dan Tey Seu Bock dengan kesemuanya mempunyai tanggungjawab masing-masing.

“Saya mempunyai lapan pemain antara umur 18 hingga 20 tahun dan fokus utama mengenai mereka semua adalah soal disiplin.

“Saya percaya jika kami berjaya mendidik mereka dengan betul, faktor pengalaman kemudian akan membantu menentukan hala tuju mereka,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai prestasi barisan pemain negara pada Masters Malaysia yang berakhir Ahad lalu, Indra tetap berpuas hati dengan prestasi barisan pemainnya.

“Ia kejohanan berstatus Grand Prix (GP) Emas dan hampir kebanyakan pemain menduduki ranking 30 terbaik dunia,” katanya.

Lapan pemain di bawah bimbingan Indra ialah R Satheishtharan, Cheam June Wei, Lee Zii Jia, Tan Jia Wei, Yeoh Seng Zoe, Leong Jun Hao, Sima Fong Hau dan Tan Choong Yen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2017 @ 10:13 AM