ULSER mulut amat menyakitkan.
ULSER mulut amat menyakitkan.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Ulser di bahagian mulut mungkin perkara biasa bagi sesetengah individu kerana sesiapa saja tidak mengira jantina dan usia boleh dijangkiti ulser sama ada di bahagian lidah, dinding dalam mulut atau sekitar tekak.

Walaupun ulser boleh diubati dan tidak berlarutan untuk tempoh lama, faktor penyebab masih tidak dikenal pasti. Ada beberapa kajian perubatan menyatakan tekanan atau kecederaan antara punca ulser.

Ada pula berpendapat beberapa makanan seperti sitrus atau buah-buahan berasid boleh mengakibatkan ulser atau menjadikannya lebih teruk.

Dalam pada itu, berus gigi yang tidak bersesuaian atau berkualiti kadangkala boleh menjadi penyebab ulser.

Apabila berlaku ulser, seseorang mengalami beberapa tanda seperti bengkak kecil yang pedih di bahagian mulut terutama di sekitar lidah, dinding mulut, lelangit atau tekak. Bengkak terbabit berwarna keputih-putihan atau kelabu dan terdapat lingkaran merah di sekitarnya.

Ulser amat memedihkan dan kadangkala kesakitan dialami memberi kesan produktiviti seharian. Bagi jangkitan yang teruk, ia datang bersama demam dan kelesuan.

Oleh yang demikian, amat penting bagi seseorang menjaga kebersihan dan keselamatan di bahagian mulut agar tidak dijangkiti ulser yang boleh mengakibatkan rasa tidak selesa.

Rasa sakit, pedih dan perit sehingga kadangkala sukar untuk menelan atau mengunyah makanan pasti dirasai setiap kali ulser mulut menyerang.

Memang menyakitkan dan adakalanya agak sukar sembuh kerana ia bergantung kepada lokasi ulser mulut itu. Keadaan itu mengganggu keupayaan untuk makan dan bercakap sehingga mengganggu emosi individu itu akibat menahan kesakitan.

Menurut Doktor Kanan Kumpulan Perubatan Penawar Sdn Bhd, Dr Zubaidi Ahmad, selain ubatan yang boleh didapati di klinik atau farmasi, terdapat beberapa kaedah menggunakan bahan semula jadi yang boleh digunakan bagi merawat ulser.

“Boleh menggunakan madu dan minyak kelapa kerana madu ialah pelembap semula jadi. Ia membantu mengekalkan kelembapan dan mencegah dehidrasi.

“Ia juga membantu mengurangkan parut dan mempercepatkan proses pertumbuhan tisu baru,” katanya.

Dr Zubaidi berkata, madu juga anti-mikrob yang dapat mempercepatkan penyembuhan ulser mulut. Caranya dengan menyapukan sedikit madu pada ulser mulut atau campurkan sedikit dengan kunyit yang ditumbuk untuk digunakan pada kawasan yang terjejas.

“Lakukannya secara konsistan sehingga ulser itu mulai sembuh,” ujarnya.

Tambahnya, penggunaan minyak kelapa dan air kelapa sangat berguna dalam merawat ulser mulut.

“Caranya berkumur dengan air kelapa kemudian sapukan sedikit minyak kelapa terus pada ulser mulut.

“Walaupun tidak dirawat, ulser mulut biasanya akan hilang dalam masa seminggu atau dua minggu, namun jika ulser ia tidak sembuh dalam masa berkenaan, ia mungkin petanda masalah yang lebih bahaya,” katanya.

Menurutnya, bertemu dengan doktor berhampiran bagi mengenal pasti sekiranya terdapat masalah lain apabila ulser lambat sembuh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2015 @ 5:01 AM