BOLEH gunakan madu atau minyak kelapa untuk merawat ulser.
BOLEH gunakan madu atau minyak kelapa untuk merawat ulser.
TEKANAN antara punca berlakunya ulser.
TEKANAN antara punca berlakunya ulser.
ULSER amat menyakitkan.
ULSER amat menyakitkan.
Siti Nadirah Hafidzin


Pedih apabila mengunyah makanan sehingga rasa sakit ketika menelan minuman sering menyebabkan emosi terganggu.

Ada yang memanggilnya ‘pecah mata ikan’ dalam kalangan masyarakat Melayu namun hakikatnya ulser di bahagian mulut sememangnya menyakitkan.

Mungkin ia perkara biasa bagi sesetengah individu kerana sesiapa saja tidak mengira jantina dan usia boleh dijangkiti ulser sama ada di bahagian lidah, dinding dalam mulut atau sekitar tekak.

Menurut Doktor Kanan Kumpulan Perubatan Penawar Sdn Bhd Dr Zubaidi Ahmad, walaupun ulser boleh diubati dan tidak berlarutan untuk tempoh lama, faktor penyebab masih tidak dikenal pasti. Ada beberapa kajian perubatan menyatakan tekanan atau kecederaan antara punca ulser.

“Ada pula berpendapat beberapa makanan berasaskan buah-buahan sitrus atau berasid boleh mengakibatkan ulser atau menjadikannya lebih teruk.

“Dalam pada itu, berus gigi yang tidak bersesuaian atau berkualiti kadangkala boleh menjadi penyebab ulser,” katanya.

Menurutnya, apabila berlaku ulser, seseorang mengalami beberapa tanda seperti bengkak kecil yang pedih di bahagian mulut terutama di sekitar lidah, dinding mulut, lelangit atau tekak.

“Bengkak terbabit berwarna keputih-putihan atau kelabu dan terdapat lingkaran merah di sekitarnya. Ulser amat memedihkan dan kadangkala kesakitan dialami memberi kesan kepada produktiviti seharian. Bagi jangkitan yang teruk, ia menyebabkan demam dan kelesuan,” ujarnya.

Amat penting bagi seseorang menjaga kebersihan dan keselamatan di bahagian mulut agar tidak dijangkiti ulser yang boleh mengakibatkan rasa tidak selesa.

“Rasa sakit, pedih dan perit sehingga kadangkala sukar untuk menelan atau mengunyah makanan pasti dirasai setiap kali ulser mulut menyerang.

“Memang menyakitkan dan adakalanya agak sukar sembuh kerana ia bergantung kepada lokasi ulser mulut itu. Keadaan itu mengganggu keupayaan untuk makan dan bercakap sehingga mengganggu emosi individu itu akibat menahan kesakitan,” katanya.

Dr Zubaidi berkata, selain ubatan yang boleh didapati di klinik atau farmasi, terdapat beberapa kaedah menggunakan bahan semula jadi yang boleh digunakan bagi merawat ulser.

“Boleh menggunakan madu dan minyak kelapa kerana madu ialah pelembap semula jadi. Ia membantu mengekalkan kelembapan dan mencegah dehidrasi.

“Ia juga membantu mengurangkan parut dan mempercepatkan proses pertumbuhan tisu baru,” katanya.

Dr Zubaidi berkata, madu juga antimikrob yang dapat mempercepatkan penyembuhan ulser mulut. Caranya dengan menyapukan sedikit madu pada ulser mulut atau campurkan sedikit dengan kunyit yang ditumbuk untuk digunakan pada kawasan yang terjejas.

“Lakukannya secara konsisten sehingga ulser itu mulai sembuh. Penggunaan minyak kelapa dan air kelapa juga sangat berguna dalam merawat ulser mulut.

“Caranya berkumur dengan air kelapa kemudian sapukan sedikit minyak kelapa terus pada ulser mulut.

“Walaupun tidak dirawat, ulser mulut biasanya hilang dalam masa seminggu atau dua minggu, namun jika ulser tidak sembuh dalam masa berkenaan, ia mungkin petanda masalah yang lebih bahaya,” katanya.

Menurutnya, bertemu dengan doktor berhampiran bagi mengenal pasti sekiranya terdapat masalah lain apabila ulser lambat sembuh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2017 @ 9:44 PM