Suasana di pekarangan rumah keluarga Nur Izzaty, malam tadi. FOTO Syahirah Abdullah
Suasana di pekarangan rumah keluarga Nur Izzaty, malam tadi. FOTO Syahirah Abdullah
Oleh Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Jenazah Nur Izzaty Izyan Roselan, 23, penuntut perubatan tahun akhir di Universiti Cairo, Mesir, yang meninggal Jumaat lalu akibat penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE) tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) Kuala Terengganu, malam tadi.

Jenazah anak kedua daripada empat beradik tiba dengan penerbangan MAS di LTSM Kuala Terengganu kira-kira jam 9.20 malam.

Jenazah Nur Izzaty Izyan kemudian dibawa ke rumahnya di Kampung Tasek, Bukit Payong, di sini dan tiba pada 10.10 malam.

Sebaik tiba di rumah, ahli keluarga memberi penghormatan terakhir sebelum dibawa ke Masjid Kampung Tasek, di sini sebelum dikebumikan di Tahah Perkuburan Islam Kampung Tasek, Bukit Payong, di sini,

Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan isteri, Toh Puan Seri Halina Zakaria turut bersama menantikan ketibaan jenazah bersama ahli keluarga Nur Izzaty Izyan di LTSM.

Dalam pada itu, bapa Nur Izzaty Izyan, Roselan A Rahman, 56, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama kerajaan negeri dan Jabatan Perkhidmatan Awam yang memastikan kelancaran dan menguruskan urusan menghantar pulang jenazah anaknya ke Malaysia.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri akan mengadakan tahlil buat Allahyarham sebagai tanda ingatan dan penghargaan terhadap bekas pelajar cemerlang Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2015 @ 11:47 PM