PEMAIN tengah City sudah jangka akan berdepan Kiev.
PEMAIN tengah City sudah jangka akan berdepan Kiev.

Fernandinho (gambar) mendedahkan firasatnya bahawa Manchester City akan diundi menentang Dynamo Kiev dalam aksi 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara apabila bekas pemain tengah Shakhtar Donetsk sedia untuk kembali melawat Ukraine.

Skuad Manuel Pellegrini berharap dapat memanfaatkan kunjungan ke Eropah Timur pada Februari di mana perlawanan pertama bakal diadakan di stadium kosong selepas UEFA bertindak balas atas sorakan berbentuk perkauman oleh segelintir penyokong ketika perlawanan menentang Chelsea pada peringkat kumpulan.

Fernandinho menghabiskan lapan tahun bersama Liga Perdana Ukraine, tampil dalam 300 perlawanan bersama Shakhtar sebelum berpindah ke Etihad dengan kontrak bernilai £34 juta (RM218.9 juta) pada 2013.

Pemain kelahiran Brazil itu mengakui dapat merasakan sesuatu mengenai undian di Nyon, Isnin lalu.

“Memang lucu kerana beberapa hari sebelum itu, saya memberitahu Fernando bahawa kami akan diundi menentang Dynamo Kiev,” kata Fernandinho menerusi laman web rasmi Manchester City.

“Saya juga memberitahu beberapa rakan kerana kami yakin kami akan menentang mereka jadi apabila undian sebenar dibuat, saya hanya tersenyum.

“Mereka mempunyai barisan pemain hebat, terutamanya sayap kanan mereka, Andriy Yarmolenko jadi kami perlu berhati-hati tetapi saya fikir kami mempunyai peluang cerah untuk mara.”

Pemain berusia 30 tahun itu menjangkakan suasana kurang meriah pada perlawanan pertama 24 Februari depan sebagai cabaran tambahan buat pasukannya yang bergelut sebelum seri 2-2 ketika menentang CSKA Moscow dalam suasana sama musim lalu.

Fernandinho menyedari cuaca yang begitu sejuk di Kiev dan berharap dapat memanfaatkan pengalaman bermain dalam stadium yang suram untuk mencapai keputusan positif dalam perlawanan penting.

“Saya bermain beberapa kali di stadium tanpa penyokong dan suasananya tidak sama,” katanya.

“Kami perlu memberi tumpuan terhadap tugas malam itu. Kebanyakan kami bermain secara profesional selama 10 tahun atau lebih dan sentiasa bermain di depan penyokong ramai, jadi untuk beraksi di dalam stadium kosong dan sunyi begitu sukar.

“Bagi saya tahap tumpuan perlu tinggi dan kami perlu pastikan pulang dengan keputusan yang bagus.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2015 @ 5:17 AM