MINA (kanan) bersama Pengarah The Body Shop, Datuk Simon Fong (kiri) sewaktu pemberian dana kepada wakil MAF, Hisham Hussein (dua dari kiri) dan wakil MYCAT, Wong Pui May.
MINA (kanan) bersama Pengarah The Body Shop, Datuk Simon Fong (kiri) sewaktu pemberian dana kepada wakil MAF, Hisham Hussein (dua dari kiri) dan wakil MYCAT, Wong Pui May.
Oleh Siti Salmiah A Hamid


Perayaan Hari Natal bakal disambut masyarakat beragama Kristian di seluruh dunia.

Sudah pasti ia dirai begitu meriah ditambah dengan persiapan dari segi perhiasan rumah, pakaian hingga hidangan makanan yang hanya dinikmati pada ketika itu saja.

Namun dalam kegembiraan, masyarakat tidak seharusnya lupa kepada kesusahan sebahagian masyarakat dunia yang menghadapi kepayahan untuk mendapatkan air bersih.

Lebih 650 juta orang di seluruh dunia, tidak mempunyai akses air bersih dan sekitar 1,400 orang mati setiap hari akibat penyakit disebabkan pencemaran air dan kekurangan sanitasi.

Justeru, The Body Shop bekerjasama dengan badan amal antarabangsa, WaterAid untuk membantu mengubah kehidupan ramai supaya dapat menikmati bekalan air bersih.

Setiap pembelian hadiah khas sempena perayaan Krismas minggu depan membolehkan WaterAid membantu keluarga di Ethiopia dengan air bersih untuk sehari.

The Body Shop menawarkan peluang kepada pelanggan untuk membeli hadiah yang menyokong kerja amal WaterAid dengan menyediakan air bersih, tandas baik dan kebersihan lebih baik di seluruh dunia.

Malah sebagai sebahagian kempen perayaan Krismas 2015, jenama kecantikan ini bakal membuat sumbangan dengan setiap jualan daripada pelbagai hadiah yang dipilih khas pada November dan Disember untuk membantu masyarakat paling miskin di dunia.

Sokongan The Body Shop dan orang ramai mampu mengubah kehidupan lebih 3,000 penduduk di luar bandar Ethiopia.

Pada masa yang sama, The Body Shop turut menyampaikan kutipan amal kepada dua organisasi bukan berasaskan keuntungan (NGO) iaitu Yayasan AIDS Malaysia (MAF) dan Perikatan Pemuliharaan Harimau Malaysia (MYCAT).

Kempen ‘Kick The Bag Habit’ dan ‘Sales of Condom’ yang dijalankan pada tahun ini membolehkan penyerahan dana RM7,390 kepada MAF sementara itu, seba­nyak RM191,254.82 disumbangkan kepada MYCAT.

Pengarah Urusan The Body Shop Malaysia, Datin Mina Cheah Foong berkata, The Body Shop bakal meneruskan matlamat bagi memberi sokongan kepada NGO yang sentiasa memerlukan bantuan.

Tambahnya, keprihatinan The Body Shop Malaysia membolehkan bantuan dan maklumat disalurkan terus kepada masyarakat dan badan amal supaya masyarakat dunia hari ini turut sama berpeluang berkongsi kebaikan untuk kesejahteraan semua.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2015 @ 5:01 AM