HANYA tinggal 300 ekor harimau belang masih hidup di hutan Malaysia.
HANYA tinggal 300 ekor harimau belang masih hidup di hutan Malaysia.
Oleh Siti Salmiah A Hamid


Bukan mustahil untuk memastikan hidupan liar di hutan negara ini terus wujud jika orang ramai termasuk agensi berkaitan berusaha dan bekerjasama bagi menyelamatkannya daripada terus terancam.

Ini berikutan bilangan beberapa spesies hidupan liar berada pada tahap kritikal terutama haiwan kebanggaan negara, Harimau Malaya atau nama saintifiknya, Panthera tigris jacksoni yang kini ha­nya tinggal 300 ekor.

Data di Bank Dunia menunjukkan, sekurang-kurangnya satu perlima daripada spesies mamalia di Malaysia menghadapi ancaman kepupusan.

Kajian global turut mendapati, Malaysia antara negara yang menghadapi kekurangan dana untuk pemuliharaan biodiversiti meskipun ia memiliki banyak tempat terkenal.

Justeru, usaha berterusan Pakatan Pemuliharaan Harimau Malaysia (MYCAT) dengan kerjasama The Body Shop Malaysia menerusi kempen Selamatkan Harimau Malaya Kita perlu disokong semua pihak.

Kempen yang berlangsung sehingga akhir tahun ini di semua cawangan The Body Shop di Semenanjung Malaysia, membuka peluang kepada orang ramai untuk menderma sambil membeli.

Pelanggan di cawangan The Body Shop berpeluang menjayakan misi kempen dengan membeli beg kertas edisi khas harimau berharga 50 sen yang didermakan kepada Tabung MYCAT.

Dana daripada kempen ini disalurkan kepada program Tindakan Rakyat Untuk Harimau (CAT) selain usaha berterusan bagi memastikan kemandirian Harimau Malaya.

CAT adalah program sukarelawan membabitkan orang ramai dalam memerangi pemburuan haram termasuk kehilangan habitat dan fragmentasi, antara ancaman terbesar dihadapi harimau di negara ini.

Petugas Media tanah air termasuk penulis sendiri dijemput MYCAT menyertai aktiviti mengenal pasti laluan hidupan liar, memerhati kawasan penebangan hutan secara haram dan jerat atau perangkap haiwan menerusi program CAT Walks.

Perjalanan selama tiga jam membawa penulis ke Koridor Hidupan Liar Sungai Yu di Pahang, koridor hutan ter­akhir yang juga kawasan teras Harimau Malaya terbesar menghubungkan Taman Negara barat dengan Banjaran Titiwangsa.

Ketika melakukan aktiviti mendaki bersama jurupandu, beberapa perangkap haiwan ditemui dan dimusnahkan. Penulis turut melihat secara dekat kesan cakaran pada batang pokok yang menunjukkan kehadiran beruang di koridor berkenaan.

Beberapa hari sebelum ketibaan kami, peronda Orang Asli mengesan penceroboh memasuki kawasan koridor, namun jejak penceroboh itu tiba-tiba lenyap. Yang ditemui hanyalah jerat haiwan dan sampah-sarap.

Bantuan daripada Orang Asli berjaya mengurangkan kehadiran penceroboh selain aduan aktiviti haram yang disalurkan ke Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan Jabatan Perhutanan menerusi hotline jenayah hidupan liar MYCAT.

Sukarelawan CAT Walks turut berpeluang memeriksa perangkap kamera yang dipasang di pinggir Taman Negara bagi memantau kehadiran hidupan liar.

Beberapa haiwan dapat dilihat dengan jelas di kawasan berkenaan seperti harimau kumbang, tapir, landak, gajah, harimau akar, beruang matahari dan harimau belang.

“Meskipun sukar melihat hidupan liar secara terang-terangan di hutan hujan tropika yang tebal seperti di Malaysia, imej yang dirakam kamera perangkap menunjukkan kehadiran pelbagai haiwan liar yang menghuni kawasan berkenaan.

“Haiwan ini mendapat manfaat perlindungan hasil daripada program CAT Walk yang diterajui sukarelawan daripada pelbagai latar belakang,” kata Pengurus Besar MYCAT yang juga ahli biologi hidupan liar terkenal, Dr Kae Kawanishi.

Bagi The Body Shop, jenama yang berteraskan kepada alam semula jadi, sudah menjadi tanggungjawab utama dalam melindungi hutan dan spesies hidupan liar.

“Sesuatu perlu dilakukan bagi melindungi harimau belang di negara ini. Ia simbol mewakili pelbagai perkara berkaitan Malaysia, antaranya lambang negara, identiti Malaysia dalam bola sepak kebangsaan serta simbol Filem Negara Malaysia.

“Kempen beg kertas The Body Shop bukan saja berjaya mengumpulkan dana, malah turut membantu MYCAT menyebarkan maklumat berguna mengenai kepupusan harimau belang kepada orang ramai,” kata Pengarah Urusan The Body Shop Malaysia, Datin Mina Cheah-Foong.

Layari www.malayantiger.net untuk mengetahui lebih lanjut mengenai hidupan liar, aktiviti sukarelawan dan bagaimana masyarakat boleh membantu melindungi ancaman kepupusan harimau belang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2015 @ 5:00 AM