MAJLIS perasmian yang disempurnakan Hassan.
MAJLIS perasmian yang disempurnakan Hassan.
Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Yayasan AEON Malaysia (MAF) melancarkan sistem derma dalam talian bagi membantu golongan memerlukan sempena kempen Kembali ke Sekolah.

Menerusi inisiatif itu, 450 kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan akan diberi peluang untuk membeli barangan keperluan persekolahan di rangkaian AEON dan AEON Big yang terpilih.

Pengerusi AEON CO (M) BHD yang juga Presiden MAF, Datuk Abdullah Yusof berkata, pihaknya adalah satu-satunya pengedar di negara ini yang memiliki yayasan sendiri.

Beliau berkata, sistem derma menerusi laman pautan https://edonation.aeonretail.com.my itu membolehkan orang ramai menghulurkan sumbangan kepada golongan yang memerlukan menerusi pembayaran secara dalam talian.

Kata Abdullah, MAF sebelum ini sudah menjalankan pelbagai program amal dan khidmat masyarakat yang memberi faedah kepada ribuan masyarakat bukan saja di negara ini, malah di seluruh dunia.

"Kami komited dalam membantu, mencapai dan mengubah sesuatu kehidupan untuk menjadi lebih baik.

"Dengan pelancaran kempen Kembali ke Sekolah ini, kami berharap dapat memberikan senyuman kepada kanak-kanak dengan membawakan kepada mereka kegembiraan musim percutian," katanya pada majlis perasmian di ibu negara, baru-baru ini.

Majlis perasmian itu disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hassan Malek.

Yayasan MAF akan menyumbangkan dana hampir RM200,000 kepada kanak-kanak dari enam rumah anak yatim dan tiga rumah kebajikan di sekitar Lembah Klang, Perak dan Johor.

Ia terdiri daripada penghuni Rumah Wawasan Sitiawan (Perak), Rumah Kebajikan Kanak-Kanak Sanathana Dharma Ashram Sitiawan (Perak), Persatuan Kebajikan Anak-Anak Yatim Alam Damai Cheras, Cornerstone Homes Seme-nyih, Persatuan Kebajikan Sri Saradha Dewi Illam, Rawang, Pusat Kebajikan Kalvari Johor, Persatuan Kebajikan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Cempaka Pantai Dalam, Persatuan Kebajikan Anak-Anak Setiawangsa dan Asrama Penyayang Nur Iman Setapak.

Mereka akan diberi peluang membeli peralatan persekolahan baru seperti pakaian, beg dan alat tulis sebagai persediaan menghadapi sesi persekolahan baru.

Dalam pada itu, Yayasan MAF bukan hanya tertumpu pada acara amal atau khidmat masyarakat saja kerana ia turut mengumpul dana untuk membantu golongan miskin yang memerlukan.

Justeru, dengan adanya sistem derma dalam talian itu, ia membolehkan yayasan berkenaan mengumpul dana yang disumbangkan orang ramai di seluruh negara.

Ini kerana sistem berkenaan dihubungkan terus kepada laman sesawang utama AEON yang menyediakan pelbagai pilihan pembayaran termasuk menerusi kad kredit atau debit secara terus.

Kaedah ini dipercayai dapat menggalakkan orang ramai tampil membantu untuk tujuan amal dengan hanya satu klik saja.

Menurut Pengarah Urusannya, Nur Qamarina Chew, sejak beberapa tahun ini pihaknya menerima sambutan hangat daripada orang ramai yang bermurah hati untuk tampil menghulurkan sumbangan.

Selain itu, yayasan berkenaan juga, katanya, mempunyai makna tersendiri dan dekat di hati syarikat serta kakitangannya sendiri.

"Kaedah ini ternyata lebih mudah berbanding proses sumbangan sebelumnya.

"Kami berharap dengan adanya sistem menderma dalam talian ini akan meningkatkan lagi kadar sumbangan dan pendapatan amal untuk tabung yayasan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Disember 2014 @ 5:02 AM