AFP

London: Craig Shakespeare percaya Kasper Schmeichel (gambar) perlu dilihat sebagai antara penjaga gol terbaik bola sepak selepas usahanya menyelamatkan gawang membolehkan Leicester City mencatat kemenangan keempat berturut-turut.

Jaringan separuh masa pertama Riyad Mahrez, Robert Huth dan Jamie Vardy memberikan juara bertahan itu kemenangan 3-2 ke atas West Ham United kelmarin, sekali gus meredakan kebimbangan tersingkir yang membawa kepada pemecatan Claudio Ranieri bulan lalu.

Namun West Ham bangkit menerusi jaringan Manuel Lanzini dan Andre Ayew hinggakan Leicester memerlukan Schmeichel untuk menyelamatkan dua percubaan hebat Andy Carroll sebelum mereka boleh meraikan satu lagi kemenangan.

“Dia berada pada tahap terbaik sejak saya berada di sini, jadi saya tidak melihat sebab untuk menafikan kehebatannya,” kata Shakespeare apabila ditanya sama ada Schmeichel - anak kepada penjaga gol legenda Manchester United Peter - berhak berada dalam senarai penjaga gol terhebat Liga Perdana Inggeris.

“Semua penjaga gol sama pentingnya tapi kejayaan menyelamatkan gol berbahaya jauh lebih penting.”

Perlawanan di Stadium London itu yang pertama buat Leicester selepas mereka menyingkirkan Sevilla dalam aksi Liga Juara-Juara awal pagi Rabu lalu untuk berdepan Atletico Madrid pada aksi suku akhir.

Shakespeare mencatat kejayaan demi kejayaan sejak penolong pengurus itu menggantikan tugas Ranieri, pada mulanya sebagai pemangku tetapi beliau memberitahu ia hasil resipi mudah.

“Tiada rahsia,” katanya. “Kerja keras, usaha, bertindak segera - kami menunjukkan semuanya hari ini, seiring dengan aksi bola sepak hebat.

“Kami menjaringkan gol pada masa yang tepat. Mereka memberi tentangan tetapi kami sedar bahawa kerja keras adalah penting buat kejayaan dan kami terus melakukannya.

“Kami bercakap mengenai kepentingan bermula dengan garang dan mendominasi perlawanan jika boleh, sama seperti perlawanan lalu tapi kami perlu segera bangkit pada separuh masa kedua.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2017 @ 8:01 AM