Ahmad Bahatin, 68, ditemui dalam hutan berdekatan Temiang selepas hilang sejak Sabtu lalu. - Foto Ihsan Keluarga
Ahmad Bahatin, 68, ditemui dalam hutan berdekatan Temiang selepas hilang sejak Sabtu lalu. - Foto Ihsan Keluarga
Oleh Alias Abd Rani


Seremban: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak tiga hari lalu, dijumpai dalam kawasan hutan berdekatan Temiang, di sini, dalam keadaan selamat, malam tadi.

Ahmad Bahatin, 68, dari Tanjung Piandang, Perak ditemui seorang penduduk Kampung Temiang, kira-kira jam 7.44 malam selepas hilang ketika menghadiri majlis perkahwinan saudaranya di Taman Bukit Chedang di sini, Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) negeri Lt Kol Kamal Mokhtar, berkata penduduk kemudian menghubungi JPAM memaklumkan perkara itu.

"Anggota kami segera ke lokasi dan lelaki itu dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) untuk pemeriksaan," katanya.

Katanya, Ahmad tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi hanya lapar dan pening ketika ditemui dalam hutan yang terletak kira-kira sembilan kilometer dari tempat dia dilaporkan hilang.

Sementara itu, anak perempuannya, Suraya Ahmad, 33, bersyukur dengan penemuan bapanya yang kini berada di rumah ibu saudaranya di Bukit Chedang.

"Ibu saudara menelefon saya kira-kira jam 8.30 malam tadi memberitahu ayah sudah ditemui,” katanya yang sudah pulang ke Perak.

Dalam kejadian Sabtu lalu, Ahmad yang menghadapi masalah ingatan dipercayai ke kedai berhampiran untuk membeli rokok tetapi tidak pulang ke rumah saudaranya selepas itu.

Usaha ahli keluarganya mencari dia di merata tempat gagal lalu membuat laporan di Balai Polis Seremban 2 pada hari yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2015 @ 6:10 PM