Siow (tengah) melihat lubang besar di Jalan Lee Sam yang membahayakan orang ramai. FOTO Mohd Amin Jalil
Siow (tengah) melihat lubang besar di Jalan Lee Sam yang membahayakan orang ramai. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


LALUAN berhampiran sebuah pasar raya di Jalan Lee Sam, Temiang, Seremban, ditutup kepada orang ramai ekoran berlaku mendapan tanah sedalam dua meter yang dipercayai akibat paip pecah.

Kejadian disedari pengguna yang melihat jalan berlubang kira-kira tiga meter persegi dan terkejut apabila mendapati berlaku mendapan tanah.

Ketua MCA Bahagian Seremban Siow Koi Voon berkata, pihaknya menerima aduan kira-kira 9 pagi lalu segera ke lokasi sebelum melaporkan kepada Majlis Perbandaran Seremban (MPS) serta Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS).

"Pada Ahad lalu, kita menerima aduan berlaku paip pecah di kawasan terbabit, namun kakitangan SAINS yang ke lokasi tidak menemui punca kebocoran itu.

"Kemungkinan berlaku pergerakan air di bawah tanah sehingga menyebabkan tanah mendap. Saya bimbang keadaan semakin serius dan sudah melaporkan kepada pihak berkaitan untuk tindakan segera," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Katanya, SAINS dan kontraktor dilantik akan membaiki jalan itu dan kemungkinan ia ditutup beberapa hari sebelum dapat digunakan semula.

Beliau berharap orang ramai memberi kerjasama dan mematuhi arahan dikeluarkan kerana khuatir berlaku runtuhan lebih besar dan membahayakan keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2017 @ 9:04 PM