BEKAS tauke besi buat kajian enam bulan hasilkan ramuan terbaik dapat sokongan kerajaan negeri.
BEKAS tauke besi buat kajian enam bulan hasilkan ramuan terbaik dapat sokongan kerajaan negeri.
Mohd Amin Jalil


UMUM mengetahui kepentingan baja dalam membantu meningkatkan kesuburan tanah dan hasil tanaman.

Baja mengandungi unsur pemakanan untuk tumbuhan yang dibekalkan secara langsung bagi tumbesaran tanaman.

Ia penting bagi membantu meningkatkan kesuburan tanah untuk menampung keperluan pertumbuhan tanaman dari peringkat awal sehingga penuaian hasil.

Secara umum, terdapat dua jenis baja iaitu baja kimia dan baja organik.

Baja kimia dihasilkan menggunakan campuran bahan seperti asid sulfurik dan gas ammonia dalam pembuatan baja ammonium sulfat.

Baja organik pula dihasilkan daripada bahan asli tanpa campuran bahan kimia seperti pereputan sisa pertanian yang mudah terurai contohnya sisa tanaman dan sisa haiwan.

ABDUL Rahim menunjukkan bahan utama yang digunakan bagi proses penghasilan baja organik di Kampung Bukit Temiang, Seremban.
ABDUL Rahim menunjukkan bahan utama yang digunakan bagi proses penghasilan baja organik di Kampung Bukit Temiang, Seremban.

Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini, penggunaan baja organik semakin meluas dan ia menjadi pilihan petani mahupun pekebun untuk meningkatkan kesuburan tanah bagi menghasilkan produk pertanian yang lebih sihat dan selamat.

Potensi baja organik itu turut mendorong bekas tauke besi, Abdul Rahim Alimuddin, 61, untuk mengeluarkan baja organiknya sendiri.

Abdul Rahim, sebelum ini sudah beberapa tahun terbabit dalam industri pertukangan besi dan kini mula tertarik dengan bidang pertanian.

Katanya, projek untuk menghasilkan baja organik itu dbermula pada awal 2020 selepas menyedari betapa pentingnya penggunaan baja organik kepada tanaman yang dimakan setiap hari.

Menurutnya, selama ini ramai petani dan pekebun menggunakan bahan kimia untuk meningkatkan hasil tanaman mereka tanpa menyedari bahawa baja organik sebenarnya lebih bermutu serta selamat.

"Saya turut membuat kajian selama enam bulan untuk mendapatkan ramuan terbaik bagi menghasilkan baja organik khusus untuk kegunaan petani.

MEMILIH tanah hitam terbaik untuk menghasilkan baja organik.
MEMILIH tanah hitam terbaik untuk menghasilkan baja organik.

"Setakat ini, dua jenis baja dihasilkan dan satu daripadanya khas untuk tanaman fertigasi.

"Terdapat 11 bahan utama yang digunakan ia termasuk tanah hitam sawit, sabut kelapa dan serkam padi bakar yang diadun bagi menghasilkan baja yang 100 peratus menggunakan bahan organik," katanya ketika ditemui di tapak projek, di Kampung Bukit Temiang, Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Dia yang turut mengusahakan tanaman terung, bayam brazil dan pisang di kawasan tanah terbiar seluas kira-kira dua hektar itu berkata, projek baja organik berkenaan turut mendapat sokongan kerajaan negeri dan khidmat nasihat Jabatan Pertanian Negeri Sembilan (JPNS).

Katanya, baja organik yang dihasilkan itu terbukti berkesan untuk membantu kesuburan tanaman seperti kelapa sawit, getah, padi, buah-buahan, tanaman kontan, sayur-sayuran dan pokok bunga.

Baja berkenaan juga dikatakan mampu mengurangkan kadar masam dan asid tanah selain membantu mempercepat proses larut resap.

"Selain itu, baja organik itu juga dapat membantu memperbaiki pengudaraan dan resapan air untuk memastikan perkembangan akar pokok yang lebih sihat.

TURUT mengusahakan tanah terbiar dengan projek tanaman terung di Kampung Bukit Temiang, Seremban.
TURUT mengusahakan tanah terbiar dengan projek tanaman terung di Kampung Bukit Temiang, Seremban.

"Sangkaan segelintir petani bahawa baja kimia dan racun serangga mampu meningkatkan hasil adalah silap kerana penggunaan bahan itu boleh membunuh serangga baik yang membantu proses pendebungaan tanaman," katanya.

Bagi menyiapkan tempahan pelanggan, Abdul Rahim turut dibantu ahli keluarga serta tiga pekerja.

Sementara itu, mengulas mengenai harga jualan, Abdul Rahim berkata, setiap beg baja organik itu dijual pada harga RM10 sahaja.

Katanya, ia memang menjimatkan kos kerana penggunaannya tidak sebanyak atau sekerap baja biasa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Julai 2021 @ 6:20 AM