LOKE (kiri) dan Tsai ditahan di Kampung Ulu Temiang, semalam.
LOKE (kiri) dan Tsai ditahan di Kampung Ulu Temiang, semalam.

Seremban: Ahli Parlimen Seremban, Loke Siew Foke dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temiang, Ng Chin Tsai ditahan polis selepas dipercayai menghalang tugas pihak berkuasa merobohkan rumah di Kampung Ulu Temiang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, dua pemimpin parti DAP terbabit ditahan bersama 13 individu lain di lokasi itu jam 8.30 pagi.

Menurutnya, mereka ditangkap berikutan tindakan mereka cuba menghalang proses pengambilan tanah di kampung berkenaan selain mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggotanya.

“Dua wakil rakyat itu, empat penduduk kampung dan sembilan bukan penduduk ditahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang tugas penjawat awam menjalankan tanggungjawab.

“Mereka mengganggu dan mengadakan demonstrasi dalam menghalang proses pengambilan tanah di kampung itu,” katanya.

Muhamad Zaki berkata, sepatutnya proses pengambilan tanah di kampung itu berjalan lancar, namun mereka sengaja mengganggu kerja dengan menimbulkan kekecohan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2015 @ 6:20 AM