AHMAD (tengah)  melancarkan GDHP  sambil disaksikan Abu Bakar (kiri) dan Dr Syed Jalaludin di  Hotel Istana, Kuala Lumpur, semalam.
AHMAD (tengah) melancarkan GDHP sambil disaksikan Abu Bakar (kiri) dan Dr Syed Jalaludin di Hotel Istana, Kuala Lumpur, semalam.
Oleh Hafiz Ithnin


Kuala Lumpur: Malaysia menjadi negara perintis sebagai pusat pengumpulan data halal global menerusi inisiatif pembangunan Global Data Halal Pool (GDHP) yang membabitkan 32 negara di seluruh dunia.

GDHP dibangunkan dengan usaha sama Halal Industry Development Corporation (HDC) dan GS1 iaitu organisasi antarabangsa khusus untuk reka bentuk dan pelaksanaan standard global, rumusan untuk meningkatkan kecekapan dan penglihatan bekalan serta permintaan rantaian global merentasi pelbagai sektor.

Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Datuk Seri Jamil Bidin berkata, usaha sama itu menjadikan Malaysia sebagai negara pertama di dunia yang membangunkan satu pangkalan data antarabangsa yang memfokuskan kepada industri halal.

Beliau berkata, hasil pembangunan GDHP itu membolehkan semua syarikat yang berada dalam pangkalan data dapat mengakses maklumat produk atau perkhidmatan ditawarkan pemain industri halal dunia, sekali gus membantu merancakkan aktiviti perdagangan atau eksport halal global.

“Kami menyasarkan lebih 2,000 syarikat halal tempatan menyertai GHDP dalam tempoh setahun, tetapi ia juga berkemungkinan mampu berkembang sehingga 60,000 syarikat dari seluruh dunia

“Menerusi pengenalan GDHP juga kita jangkakan eksport halal negara akan terus berkembang pada tahun depan kerana aktiviti mempromosi produk atau perkhidmatan halal boleh diakses dengan lebih mudah dan mengurangkan kos misi dagangan setiap negara dalam industri ini,” katanya ketika dihubungi Bisnes Metro di sini, semalam.

GDHP dilancarkan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Ahmad Maslan.

Turut hadir, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah dan Pengerusi HDC, Tan Sri Dr Syed Jalaludin Syed Salim.

Jamil berkata, pada sembilan bulan pertama 2015, eksport halal negara mencatatkan pertumbuhan 28 peratus kepada RM31.1 bilion berbanding RM28 bilion dalam tempoh sama tahun lalu dan peratusan itu dijangka mampu berkembang pada tahun depan dengan adanya pengenalan GDHP.

Katanya, berdasarkan peningkatan peratusan sembilan bulan pertama itu telah menyaksikan kemampanan industri halal berdepan dengan cabaran ekonomi dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2015 @ 6:16 AM