Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Halal Industry Development Corporation (HDC) menjangkakan nilai eksport halal Malaysia berkembang pada kadar perlahan pada tahun ini berbanding RM42 bilion yang dicatatkan pada tahun lalu berikutan cabaran ekonomi semasa.

Bagaimanapun, permintaan pasaran global dalam industri halal masih kukuh dalam pelbagai sektor akan mampu membantu Malaysia mencatatkan kenaikan kadar eksport industri berkenaan pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Jamil Bidin berkata, Malaysia yang mempunyai kepelbagaian sektor halal dan tidak memfokuskan kepada sektor tradisional seperti makanan dan minuman serta sentiasa mempromosikan sektor bukan tradisional seperti ramuan dan kosmetik halal dilihat mampu merancakkan pendapatan eksport tahun ini.

Beliau berkata, daripada segi tarikan pelaburan pula, Malaysia terus mendapat perhatian daripada pelabur asing dan setakat tahun lalu terdapat suntikan pelaburan besar dalam sektor farmaseutikal serta makanan dan minuman.

“Tahun ini, HDC menjangkakan tarikan pelaburan pada kadar RM1.2 bilion hingga RM1.5 bilion yang mana kadar ini adalah prestasi purata yang dicatatkan dari tahun ke tahun.

“Dari segi eksport pula, kita jangkakan berlaku perkembangan perlahan, tetapi dengan mempromosikan sektor bukan tradisi yang berpotensi seperti penjagaan diri dan kosmetik, ia mampu meningkatkan nilai eksport dan tarikan pelaburan asing,” katanya di sini.

Industri halal Malaysia mencatatkan RM42 bilion dalam nilai eksport pada 2015 berbanding RM38 bilion pada 2014 yang mana sektor makanan dan minuman serta ramuan halal menjadi penyumbang utama.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai Majlis Halal Malaysia (MHM) yang baru ditubuhkan, katanya, MHM mampu menyelaraskan agensi kerajaan yang berkaitan industri halal di bawah satu entiti walaupun mempunyai kementerian yang berbeza.

Beliau berkata, MHM dilihat sebagai satu lagi usaha kerajaan Malaysia melancarkan pelbagai aktiviti industri halal tempatan dan memantapkan ekosistem negara sebagai hab halal dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2016 @ 6:56 AM