MOHD Norizan (tengah) bersama pekerjanya memilih timun sebelum dijual kepada pemborong.
MOHD Norizan (tengah) bersama pekerjanya memilih timun sebelum dijual kepada pemborong.
Teks dan gambar Khairulmizan Yahya

Tiada pengalaman dan pengetahuan dalam sesuatu bidang bukan bermakna tidak boleh berjaya asalkan ada keyakinan, usaha gigih serta kesabaran untuk mencapai apa yang diimpikan.

Itulah dilakukan seorang mekanik apabila membuat keputusan drastik menceburi bidang pertanian selepas tertarik dengan kejayaan rakannya mengusahakan kebun sayuran menggunakan kaedah fertigasi.

Mohd Norizan Sulaiman, 40, mengakui dia masih ‘kosong’ dalam hal pertanian ketika membuat keputusan menceburi bidang itu kira-kira dua tahun lalu, namun nekad melakukannya kerana percaya boleh berjaya seperti rakannya.

Ternyata pilihannya tepat apabila kebun sayur seluas dua hektar diusahakannya di dua lokasi mampu memberikan pendapatan sehingga puluhan ribu ringgit sebulan.

Lebih menguntungkan apabila pekerjaan itu hanya dilakukan secara sambilan tanpa mengabaikan beng–kel kereta diusahakannya sejak 17 tahun lalu yang turut menjana pendapatan lumayan buatnya.

Bapa kepada lima anak itu berkata, segalanya bermula apabila rakannya menempah 300 tayar terpakai untuk digunakan di kebun sayur miliknya di Sungai Talam, Raub dan dia sendiri menghantarnya.

“Melihat kebun sayur milik rakan luas menghijau dengan pelbagai tanaman sayuran terus menarik minat saya. Perasaan itu makin menebal apabila dimaklumkan hasil diperoleh daripada berkebun sangat menguntungkan.

“Saya pulang dengan tekad untuk turut menceburi bidang pertanian dan meminta bantuan rakan memberi tunjuk ajar selain bersusah payah mengumpul modal sehingga RM130,000 untuk tujuan itu,” katanya yang tinggal di FELDA Panching Timur, Kuantan.

Katanya, dengan bantuan rakannya itu, dia membuka kebun menggunakan kaedah fertigasi di atas tanah seluas 1.2 hektar di Sungai Batu, Jalan Sungai Lembing dan menanam beberapa jenis sayuran antaranya timun, lada, kacang panjang dan bendi.

“Pada mulanya saya agak bimbang usaha itu terbantut apabila kawasan kebun dinaiki air kerana ketika itu musim hujan, namun bernasib baik apabila air naik tidak terlalu tinggi dan saya pula menggunakan kaedah fertigasi.

“Untungnya menggunakan kaedah fertigasi kerana tanaman tidak ditanam di atas tanah, sebaliknya menggunakan beg poli yang digantung sekali gus menyelamatkan tanaman daripada ditenggelami air,” katanya.

Mohd Norizan berkata, hasil sudah boleh dipetik selepas 30 hingga 40 hari dan sayuran itu mencapai sehingga satu tan sehari, malah tanaman secara fertigasi boleh dibuat sepanjang tahun.

“Sayur yang dipetik akan dihantar kepada pemborong di Pasar Borong Selayang, Selangor serta pasar tani sekitar Kuantan manakala harganya pula ada naik turun, namun secara purata saya mampu memperoleh pendapatan sekitar RM30,000 hingga RM40,000 sebulan.

“Cabaran paling besar ketika mula menceburi bidang ini ialah mencari pasaran kerana sebagai orang baru, sudah tentu ada pihak cuba mengambil kesempatan dengan menawarkan harga terlalu murah.

“Tetapi dengan usaha sendiri dan kesabaran ting–gi, saya berjaya mencari pasaran, malah membantu beberapa petani lain mendapatkan pemborong yang boleh membeli dengan harga munasabah,” katanya.

Dia bersyukur apabila usahanya dalam bidang pertanian makin berkembang apabila berjaya membuka satu lagi kebun sayuran seluas 0.8 hektar di Jaya Gading, kira-kira empat bulan lalu dan mempunyai lima pekerja untuk menguruskan dua kebunnya itu.

“Kini saya membantu beberapa rakan lain yang turut sama berminat menceburi bidang pertanian khususnya tanaman sayuran melalui kaedah fertigasi dan tidak kisah berkongsi pengetahuan.

“Pada masa sama, saya berhasrat mengembangkan usaha ini, namun memerlukan sokongan dan bantuan termasuk dalam aspek bimbingan, bantuan kewangan atau tanah untuk tujuan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2015 @ 5:21 AM