Khairul Azhan kerugian lebih RM100,000 apabila kebun miliknya di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Inderapura terbakar. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Khairul Azhan kerugian lebih RM100,000 apabila kebun miliknya di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Inderapura terbakar. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Jabatan Pertanian Pahang akan memohon bantuan tabung kerosakan tanaman daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk membantu pekebun di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Inderapura, di sini, yang tanaman mereka musnah terbakar.

Kebakaran yang bermula sejak minggu lalu hingga kini masih berlaku memusnahkan tanaman sayur sebahagian 21 pekebun yang menanam menggunakan sistem fertigasi.

Pengarah Jabatan Pertanian Pahang, Muhd Rizal Baharom berkata, selepas mendapat laporan penuh daripada semua pekebun, permohonan untuk dipertimbangkan kementerian akan dibuat.

Menurutnya, bantuan di bawah tabung kerosakan tanaman yang layak diterima pekebun di TKPM Inderapura sama dengan bantuan diterima oleh pesawah di Pahang sebelum ini selepas padi mereka musnah ditenggelami banjir.

Katanya, bantuan membabitkan program pembangunan semula ladang selain pekebun layak menerima bantuan input pertanian, peralatan dan kerja infra.

"Pekebun layak menerima input pertanian seperti polibeg, tali, baja, tiang para, dawai, serbuk kulit kelapa dan racun. Selain itu kemudahan menyediakan semula kebun mereka turut akan dilakukan," katanya dihubungi semalam.

Beliau berkata, kebakaran kawasan tanah gambut milik Jabatan Pertanian yang turut menempatkan TKPM Inderapura adalah yang terburuk pernah berlaku.

Muhd Rizal berkata, operasi memadam dan mengawal kebakaran giat dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang turut dibantu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang yang menyediakan pam air.

Katanya, cuaca panas kering dan angin kencang serta tanah gambut menjadi faktor utama kebakaran mudah berlaku dan sukar dipadam.

"Saya difahamkan sebahagian pekebun mengalami kerugian besar apabila para tanaman mereka runtuh selain polibeg tanaman timun musnah terbakar," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pekebun TKPM Inderapura, Khairul Azhan Zainal Abidin, 52, berkata, dia kerugian lebih RM100,000 selepas tiga kawasan tanaman sayur miliknya musnah sepenuhnya.

"Api yang merebak dalam kawasan kebun menyebabkan tali pengikat polibeg putus, saya tidak mampu berbuat apa-apa apabila api begitu cepat merebak.

"Saya hanya mampu berserah apabila melihat satu persatu polibeg tanaman timun jatuh ke bumi, Ramadan kali ini begitu menguji keimanan pekebun di TKPM Inderapura yang masing-masing menanggung kerugian," katanya yang lebih 12 tahun sebagai pekebun.

Beliau berkata, kira-kira 70 hingga 80 peratus kawasan TKPM Inderapura seluas lebih 40 hektar yang diusahakan 21 peserta terjejas akibat kebakaran itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2024 @ 3:09 PM