Kenaikan harga minyak menyebabkan perbelanjaan pengguna bertambah.
Kenaikan harga minyak menyebabkan perbelanjaan pengguna bertambah.
Hayati Ibrahim


KERAJAAN akan mengenal pasti langkah bersesuaian bagi mengurangkan impak kenaikan harga minyak sekiranya harga runcit RON95 dan diesel melebihi RM2.50 seliter secara berterusan selama tiga bulan.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, ia berikutan trend kenaikan harga minyak mentah dunia sejak kebelakangan ini.

"Langkah yang diambil akan memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga minyak dunia dan kadar inflasi terkawal dalam jangka masa sederhana dan panjang," katanya.

Menurut kenyataan itu, kerajaan prihatin dan memahami kesan kenaikan harga minyak di pasaran dunia yang kini mencecah lebih RM249 (AS$60) setong.

Pada masa ini, katanya, kerajaan sudah melaksanakan langkah rasionalisasi subsidi produk petroleum mengikut trend kenaikan atau penurunan harga minyak mentah dunia.

Menurutnya, langkah ini berjaya mengurangkan ketirisan dan memastikan pemberian subsidi yang bersasar.

"Penetapan harga runcit RON95 dan diesel dilaksanakan dengan mengambil kira harga pasaran minyak mentah dunia dan kadar tukaran wang asing.

"Mekanisme penetapan adalah secara mingguan dengan purata perubahan kos produk petroleum minggu sebelumnya akan menentukan harga bagi minggu berikutnya.

"Sekiranya harga minyak mentah dunia naik, harga runcit produk petroleum turut naik, sebaliknya harga runcit akan berkurang jika harga minyak mentah dunia turun," katanya.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan masih memberi subsidi kepada sektor pengangkutan awam dan nelayan disamping gas memasak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2017 @ 5:05 PM