ANTARA operasi yang dijalankan JSPT Kuala Lumpur. FOTO ihsan Polis
ANTARA operasi yang dijalankan JSPT Kuala Lumpur. FOTO ihsan Polis
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis mengeluarkan 297 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya menerusi pelbagai operasi bermula Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, operasi diadakan di sekitar pusat bandar, Jalan Pahang, Jalan Tun Razak, Jalan Raja Laut dan Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE).

"Operasi Samseng Jalanan, Ops Motosikal dan Ops Pelbagai Kesalahan diadakan bermula Jumaat hingga awal pagi tadi dengan kekuatan lapan Pegawai Kanan dan 90 Pegawai Rendah bermula pad 9 malam hingga 4 pagi.

"Secara keseluruhan, sebanyak 297 jumlah saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan 15 buah motosikal telah disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mengubah suai struktur kenderaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sarifudin berkata, menerusi Ops Pelbagai Kesalahan, 14 lelaki berusia 25 hingga 64 tahun ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

"Semua tangkapan dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur dan akan dituduh di bawah Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Manakala bagi Operasi Samseng Jalanan, seramai enam lelaki berusia 17 hingga 39 tahun telah ditahan kerana menunggang motosikal secara berbahaya dan akan dituduh di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Menurutnya, JSPT Kuala Lumpur akan terus mempertingkatkan operasi bagi menjaga keselamatan pengguna jalan raya.

"Orang ramai mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03 2071 9999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 0320260267/69,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Oktober 2021 @ 1:24 PM