RAKAMAN video yang tular di media sosial memaparkan kenderaan di pandu melawan arus. FOTO tular TikTok
RAKAMAN video yang tular di media sosial memaparkan kenderaan di pandu melawan arus. FOTO tular TikTok
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Pemilik kenderaan yang memandu melawan arus di Bulatan Cheras semalam sudah dipanggil memberi keterangan berhubung kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kejadian dipercayai berlaku pada 8.28 malam sebelum ia tular di media sosial.

"Rakaman video yang tular di media sosial (TikTok) berdurasi 1 minit 28 saat menunjukkan satu kemalangan membabitkan dua kenderaan apabila salah satu kenderaan dipandu secara melawan arus.

"Individu yang terbabit dalam kemalangan itu sudah dikesan dan dipanggil hadir ke Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee bagi melengkapkan siasatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai Polis berhampiran.

"Polis menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Disember 2021 @ 6:43 PM