KERJA pembaikan akibat tanah mendap di Jalan Kinabalu menghala Cheras. FOTO ihsan Polis
KERJA pembaikan akibat tanah mendap di Jalan Kinabalu menghala Cheras. FOTO ihsan Polis
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Laluan Jalan Kinabalu di sini, dari arah Cheras menghala ke Selayang yang ditutup akibat mendapan tanah, semalam, sudah dibuka untuk semua kenderaan, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, beberapa lagi laluan masih ditutup bagi tujuan kerja-kerja pembaikan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Kenderaan dari arah Selayang menghala ke Cheras akan dilencongkan ke Bulatan Dato Onn terus ke Jalan Parlimen dan Jalan Sultan Iskandar untuk menghala ke Cheras.

"Pengguna jalan raya boleh menggunakan Jalan Raja melalui Bulatan Dato Onn terus ke Jalan Hishamuddin dan Jalan Kinabalu untuk menghala ke Cheras.

"Bagi laluan di Bulatan Dato Onn pula, kawalan dan lencongan jalan akan mengikut keadaan semasa lalu lintas," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya mengikuti arahan anggota polis trafik yang bertugas di lokasi.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 03-20719999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana- mana balai polis berhampiran," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan pihak polis melakukan penutupan dan lencongan jalan bagi semua kenderaan akibat tanah mendap yang mengakibatkan jalan berlubang di Jalan Kinabalu menghala ke Cheras, semalam.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 2:27 PM