Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri (tengah), menjawab soalan media di bangunan Parlimen petang tadi. - Foto MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri (tengah), menjawab soalan media di bangunan Parlimen petang tadi. - Foto MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan masih menunggu maklum balas daripada negeri sebelum meneruskan meminda tiga akta berkaitan penukaran agama bagi menangani perbalahan terutama mengenai penukaran agama membabitkan kanak-kanak, hak penjagaan dan harta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata draf pindaan itu siap sejak 2009 tetapi menteri bertanggungjawab bagi hal ehwal agama masih mengumpul maklum balas mengenai pindaan yang dicadangkan.

"Ada beberapa negeri yang belum memberi maklum balas, mungkin mereka perlu berbincang dengan kumpulan yang berkepentingan berhubung perkara itu," katanya di lobi Parlimen hari ini.

Ketiga-tiga akta itu ialah Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164), Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) dan Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303).

Terdahulu, menjawab soalan P Kasthuriraani (DAP-Batu Kawan) ketika sesi soal-jawap, Nancy melahirkan komitmen peribadi untuk menyelesaikan itu dengan melaksanakan reformasi undang-undang sambil berkata beliau tidak mahu agamanya disalah guna individu untuk kepentingan peribadi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2016 @ 10:56 PM