Amran (kanan) bersama Norlaila (kiri) dan Nuralia Syafiqa serta Fakri Iskandar.
Amran (kanan) bersama Norlaila (kiri) dan Nuralia Syafiqa serta Fakri Iskandar.

Makkah: “Kawan-kawan kata syoknya dapat pergi ke Makkah,” kata jemaah haji Malaysia termuda musim ini Faqri Iskandar Amran, 11.

Menurut murid tahun lima sekolah di Keramat, Kuala Lumpur, dia bersyukur dapat datang ke Makkah pada usia muda dan semua guru serta rakan turut berkongsi kegembiraan itu.

“Saya akan doakan untuk kawan-kawan, rakyat Malaysia dan umat Islam.

“Terima kasih kepada abi dan ummi,” katanya yang mengakui turut menyimpan duit raya ke dalam akaun Tabung Haji.

Faqri Iskandar antara jemaah bertuah dapat ke Tanah Suci bersama ibu bapa dan kakaknya.

Kakaknya, Nuralia Syafiqa, 16, pelajar tingkatan empat sekolah tahfiz di Negeri Sembilan turut melahirkan perasaan sama dan berterima kasih kepada kedua ibu bapanya kerana membawa dia ke sini sekeluarga.

“Kawan-kawan tanya kenapa nak pergi Makkah pada usia muda. Mereka kata bila tua nanti kita pergilah, tapi saya jawab kita tak tahu sampai bila kita nak hidup.

“Saya tanamkan dalam diri untuk tengok Kaabah dan bersyukur dapat jejak kaki ke sini,” katanya ketika ditemui di Hotel Raudhat al-Shorouq, di sini semalam.

Katanya, dengan mengerjakan haji dia dapat memahami subjek mengenai haji dalam sukatan pelajaran di sekolah.

“Saya doakan rakan dapat keputusan cemerlang dalam SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) tahun depan,” katanya.

Bapa mereka, Amran Mohd Ali, 51, peniaga putu piring di pasar malam sekitar ibu kota berkata, dia mendaftar haji untuk sekeluarga sejak Faqri Iskandar lahir.

Katanya, pada mulanya hanya dia, isteri, Norlaila Ismail, 47 dan Nuralia Syafiqa yang mendapat tawaran menunaikan haji bagaimanapun selepas membuat rayuan nama Faqri Iskandar turut terpilih.

“Saya memang tarbiah anak-anak suruh mereka solat sejak kecil. Saya berazam kalau dapat tunai haji saya akan pastikan kami datang bersama empat beranak.

“Matlamat saya bila saya berumah tangga saya nak bina sebuah keluarga muslim sebenar. Kami pastikan anak-anak khatam Al Quran sebelum tunai haji.

“Terima kasih kepada Tabung Haji kerana banyak membantu dan menyediakan pelbagai kemudahan,” katanya.

Norlaila yang bertugas sebagai guru berkata, perjalanan ini adalah titik tolak untuk mereka.

“Kami menabung hasil jualan acar buah yang saya masak. Saya memang suka masak dan kawan-kawan suka dengan acar buah saya.

“Dari situ, saya mula minta suami letakkan acar buah saya di pasar malam dan saya tanamkan dalam hati untuk tunai haji dengan hasil jualan itu dan pada 2014, kami berdua dapat tunai umrah,” katanya.

Katanya, dia memberitahu anak-anaknya kalau selalu lihat gambar Kaabah pada sejadah, satu hari nanti perlu berazam datang ke sini dan lihat Kaabah sebenar di depan mata.

“Saya mahu anak saya rasa bagaimana berada bersama jutaan orang di Makkah.

“Kawan-kawan yang pernah bawa anak ke sini beritahu bila sampai di Makkah dan Madinah nanti, lepas dan biarkan saja anak-anak...jangan bimbang dengan keselamatan mereka kerana di sana nanti, ramai orang akan bantu kerana mereka suka jemaah kanak-kanak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2016 @ 5:24 AM