Tiga beranak maut dilaporkan, hari ini.
Tiga beranak maut dilaporkan, hari ini.
Ramli Ibrahim


“MAK, ayah dan adik bongsu datang tidur di rumah malam tadi kerana rindukan saya. Malangnya itulah pertemuan terakhir kami sebelum mereka maut dalam kemalangan pagi tadi,” kata Khairul Anuar Aidrus, 47.

Dalam kejadian 8.40 pagi hari ini, bapa Khairul Anuar, Aidrus Ibrahim, 72; ibu, Gayah Che Hassan, 65, dan adiknya, Siti Rasyidah, 21, maut selepas Perodua Viva dinaiki mereka bertembung lori di Kilometer 63, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Kampung Sungai Lakit, Gua Musang.

Khairul Anuar, anak sulung daripada lima beradik berkata, sebelum kejadian, ketiga-tiga insan kesayangannya itu dari rumahnya di RKT KESEDAR Sungai Asap B, Gua Musang selepas bermalam di situ.

“Mereka tiba 8 malam tadi (semalam) dari Kampung Awah, Paloh Rawa, Machang. Datang pun secara mengejut dan pagi ini (hari ini) pulang kerana mak ada temujanji dengan pakar di Hospital Machang berikutan penyakit tibi dihidapinya.

“Sudah beberapa kali saya pesan supaya tidak ke sini (rumahnya) kerana bimbang keselamatan mereka (apabila di jalan raya).

“Yang peliknya, arwah datang juga senyap-senyap malam tadi tanpa memaklumkan saya,” katanya ketika ditemui di Hospital Gua Musang, hari ini.

Khairul Anuar yang juga peneroka KESEDAR berkata, kehilangan itu mengejutkan mereka sekeluarga, namun masing-masing reda dengan ketentuan Ilahi.

Dalam pada itu, pemandu lori terbabit kemalangan itu, Che Mohamad Khairul Abdullah, 28, bersama dua kelindannya hanya cedera.

Dia mendakwa melihat Perodua Viva dipandu Siti Rasyidah terbabas ke laluannya dan cuba mengelak dengan menekan brek, namun gagal sebelum kedua-dua kenderaan bertembung.

“Saya mengucap panjang dan pilu melihat tiga itu beranak meninggal dunia,” katanya.

Berita berkaitan

’Tiga beranak 'pergi' bersama'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 5:15 PM