Aizat Sharif


Kangar: Kementerian Wilayah Persekutuan akan melihat terlebih dahulu cadangan pelaksanaan had laju 30 kilometer sejam (km/j) dalam zon terpilih di sekitar ibu negara serta 50 km/j di zon lain.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, perkara itu akan diumumkan kelak.

"(Perkara) akan diumumkan nanti... saya sedar ini apa yang berlaku di bandar raya besar di seluruh dunia.

"(Langkah) memperkenalkan perkara ini akan menjadi hal yang akan kita lihat nanti dan akan umumkan kemudian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Malam Sempena Konvoi 'Golden Ride' KL–Arau 2022 bagi sambutan Jubli Emas Bandar Raya Kuala Lumpur, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kelab Sukan DBKL di sini, semalam.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pihaknya ada meneliti cadangan berkenaan dan perlu memanggil beberapa pihak untuk mengadakan perbincangan kerana perkara itu yang membabitkan pemegang amanah.

Pada Mei tahun lalu, Miros mencadangkan had laju 30 km/j bagi kawasan perumahan, bandar dan kampung sebagai sebahagian daripada perancangan keselamatan jalan raya kebangsaan untuk tahun 2021 hingga 2030.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 11:12 AM