GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Cadangan penguatkuasaan kadar had laju di kawasan sekolah kepada 30 kilometer perjam (km/j) disambut baik Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) dan komuniti ibu bapa.

Yang Dipertua (YDP) PIBG SK Telok Gadong, Klang, Selangor, Muhammad Hafiz Bahari, 36, berkata, kadar had kelajuan itu wajar demi mengambil kira keselamatan murid dan pelajar di luar sekolah terutama pada waktu puncak.

Bagaimanapun, Muhammad Hafiz Bahari berkata, pengguna jalan raya perlu memainkan peranan dengan mematuhi kadar had kelajuan ditetapkan kerana tiada keperluan memandu laju di kawasan sekolah.

"Faham, semua orang nak cepat tapi apabila berada di kawasan sekolah kena perlahankan kenderaan kerana malang tak berbau.

"Jadi bila kenderaan tak perlahan akan mengundang bahaya buat kanak-kanak kerana keselamatan mereka yang perlu diutamakan.

"Maka, cadangan menguatkuasakan kadar had laju 30 km/j di kawasan sekolah memang wajar kerana kalau bawa laju pun nak ke mana?

"Kena lihat keadaan sekeliling cuma kadangkala kereta sudah perlahan tetapi motosikal pula laju," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Justeru, Muhamad Hafiz berharap cadangan itu dikuatkuasakan dan dia juga sudah membangkitkan hal berkaitan keselamatan murid di luar sekolah dalam mesyuarat yang lalu.

"Pihak sekolah beri saranan letakkan murid di satu tempat menunggu dan hanya benarkan mereka keluar apabila ibu bapa sudah tiba.

"Di sekolah juga ada pengawal keselamatan yang membantu secara sukarela dan saya cadangkan juga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menambah bonggol di kawasan sekolah.

"Tujuannya adalah memastikan pemandu kereta atau penunggang motosikal tiada pilihan melainkan memperlahankan kenderaan mereka sekurang-kurangnya 500 meter sebelum berada di kawasan sekolah," katanya.

Sementara itu, ibu tiga anak, Siti Nadirah Hafidzin, 35, berkata, langkah menurunkan kadar had laju di kawasan sekolah daripada 40 kilometer km/j kepada 30 km/j adalah satu tindakan terbaik khususnya demi menjaga keselamatan ibu bapa juga pelajar ketika waktu datang dan pulang sekolah.

Menurut Siti Nadhirah, ia kerana waktu kemuncak di kawasan sekolah terutama pada waktu pagi, tengah hari dan petang menimbulkan risiko besar berlakunya kemalangan.

"Sebagai contoh, saya sendiri akan keluar rumah sebanyak enam kali sehari menghantar dan mengambil dua anak saya yang berusia 10 dan tujuh tahun.

"Kesesakan lalu lintas kerap berlaku di kawasan sekolah terutama apabila cuaca hujan.

"Disebabkan itu, kesedaran umum untuk sentiasa berhati-hati selain menurunkan lagi kadar had laju di kawasan sekolah adalah satu langkah wajar kerana saya sendiri beberapa kali menyaksikan berlakunya kemalangan jalan raya di kawasan berhampiran sekolah disebabkan ada pemandu juga penunggang motosikal yang tidak mematuhi had laju," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kadar had laju di kawasan sekolah disaran supaya dikuatkuasakan kepada 30 km/j bagi meningkatkan keselamatan khususnya membabitkan kanak-kanak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu diputuskan menerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Keseksaan Jalan Raya (JKMKKJR).

Menurutnya, perkara itu menjadi antara isu yang dibincangkan susulan jumlah kematian purata setiap tahun membabitkan kemalangan maut di kawasan sekolah mencecah 67 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 4:57 PM